suria

Malaysia Kutip 10 Emas Dari Sukan Arafura

KUALA LUMPUR: Malaysia menduduki tangga kelapan daripada 45 negara selepas mengutip 10 emas, enam perak dan empat gangsa pada temasya Sukan Arafura yang menutup tirai di Darwin, Australia, malam Jumaat.

Ketua Kontinjen Mohd Safrushahar Yusoff berkata olahraga menjadi penyumbang utama pingat emas Malaysia dengan enam emas, diikuti masing-masing dua butir emas dari acara menembak dan ping-pong (paralimpik).

"Malaysia dijangka mengutip dua lagi emas menerusi acara tinju apabila Mohd Fuad Mohd Redzuan dari skuad elit (bawah 49kg) dan Mohd Subrie Kamis dari skuad pelapis (bawah 52kg) beraksi pada pertarungan akhir malam ini," katanya kepada bernama ketika dihubungi di Darwin, pada Jumaat.

Pada hari terakhir temasya tersebut, Macau masih mendahului carta kutipan pingat keseluruhan dengan mengumpul 27 emas, 23 perak dan 27 gangsa diikuti New Caledonia (25, 14, 16) dan Filipina (24, 24, 10).

Sukan Arafura merupakan temasya dwi-tahunan yang dianjurkan oleh bandar Darwin sejak 1991 dan pada edisi 2009, seramai 3,000 atlet dari 30 negara menyertainya.

Kontinjen Malaysia terdiri daripada atlet program elit dan paralimpik di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) (17), Terengganu (55), Sekolah Tun Fatimah, Johor (16) dan Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah, Raub, Pahang (21).

Mengulas mengenai pencapaian atlet di bawah kendalian MSN, Mohd Safrusahar, yang juga Pengarah Cawangan Paralimpik MSN, berkata Sukan Arafura ini lebih penting kepada atlet elit paralimpik negara yang memburu ranking dan mencari mata kelayakan ke Sukan Paralimpik di London pada 2012.

"Keseluruhannya, atlet paralimpik dalam acara ping-pong dan paralifting beraksi cemerlang dan berjaya mengutip mata kelayakan yang tinggi untuk layak ke London," katanya.

Misalnya, beliau berkata atlet ping-pong Mohd Azwar Bakar yang meraih dua pingat emas dari acara individu lelaki dan berpasukan lelaki dengan berganding bersama Koh Zhi Liang, mengumpul 1,040 mata daripada 600 mata yang disasarkan di Darwin.

Sementara atlet elit normal dari skuad tinju, Mohd Farkhan Haron (bawah 69kg) dan Mohd Fairus Azwan Abdillah (bawah 75 kg), tewas kepada lawan masing-masing dalam pusingan awal.

"Saingan acara tinju amat tinggi. Sebagai contoh pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Beijing, Vijender Singh dari India kalah mengejut kepada lawannya dari New Zealand, Sam Rapira bagi kelas 81kg," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain