suria

Prestasi Buruk Bola Sepak Pulau Pinang Dibawa Ke Sidang Dun

GEORGE TOWN: Prestasi buruk pasukan bola sepak Pulau Pinang yang kini di tangga tercorot dalam Liga Premier dibangkitkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri, Selasa.

Ketika membahaskan usul terima kasih kerana ucapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas kerana merasmikan persidangan, Jagdeep Singh Deo (DAP-Datuk Keramat) melahirkan kebimbangan beliau terhadap prestasi skuad bola sepak negeri dengan berkata pasukan Pulau Pinang pada masa dulu menjadi antara kuasa besar dalam arena bola sepak negara termasu menjuarai Piala Malaysia.

"Saya bimbang tahun depan kita akan pergi ke Piala FAM. Masalah ini adalah akibat pengurusan yang tidak memuaskan," katanya.

Jagdeep Singh berharap kerajaan negeri dapat mengambil langkah tegas untuk mengatasi kemerosotan pasukan Pulau Pinang.

Selepas 16 perlawanan musim ini, Pulau Pinang kini terperosok di tangga terbawah dengan hanya mengumpul satu mata tanpa sebarang kemenangan.

Skuad itu kini mendapat seorang jurulatih baru untuk menggantikan Robert Scully yang perkhidmatannya telah ditamatkan bulan lepas.

Terdapat ura-ura, bekas ketua jurulatih Kedah, Ahmad Yusof, akan membimbing pasukan Pulau Pinang.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain