Azizulhasni Terus Jalani Pemeriksaan Di ISN Sebelum Ke Melbourne

Diterbitkan: Rabu, 4 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang akan terus menjalani rawatan fisioterapi di Institut Sukan Negara (ISN) sebelum kembali ke Australia dalam tempoh terdekat untuk memulakan latihan intensif secara berperingkat.

"Saya sudah mula buat latihan kayuhan bermula kelmarin. Itupun saya hanya membuat kayuhan mudah untuk mendapatkan momentum setelah lama berehat sejak Februari. "Sebelum ini, saya cuma buat latihan seperti berenang, berlari dan latihan di gimnasium," katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

Beliau yang baru dinobatkan sebagai Olahragawan Terengganu 2009/2010 buat tahun kedua berturut-turut baru-baru ini, berkata kecederaan betis kirinya kini sudah hampir pulih sepenuhnya walaupun masih tidak pasti kemampuan sebenar dirinya.

"Syukur, setakat ini sudah tidak ada apa-apa yang buruk berlaku. Kesakitan sudah tidak terasa sangat ketika membuat kayuhan namun keputusan dari ISN akan menentukan sama ada saya sudah pulih sepenuhnya atau tidak.

"Adalah lebih baik saya membuat pemeriksaan di sini (ISN) daripada mendapat kecederaan kembali jika saya terus pulang ke Melbourne," katanya.

Beliau berkata sekiranya mendapat lampu hijau mengenai tahap kecederaannya oleh ISN, beliau dijadualkan membuat latihan bersama kumpulan berbasikal Majlis Sukan Negara (MSN) dalam masa terdekat.

"Bila ISN cakap okey, barulah saya dan isteri Athiah Ilyana Abdul Samat dan jurulatih John Beasley akan tetapkan tarikh pulang ke Melbourne," katanya.

Beliau yang akan menjalani latihan biasa dan intensif secara berperingkat apabila kembali ke Melbourne berkata kecederaan yang dialaminya pada 19 Feb lepas juga membakar semangatnya untuk terus meningkatkan prestasi.

Azizulhasni, 22, mengalami kecederaan serius ketika bertanding acara keirin pada Siri Piala Dunia Klasik UCI di Manchester, England pada 19 Feb lepas apabila betisnya tertusuk serpihan kayu sepanjang 20 sentimeter.

Beliau bagaimanapun tetap berupaya menghabiskan perlumbaan untuk meraih pingat gangsa pada perlumbaan itu.

Katanya beliau kini menumpukan perhatian bagi menghadapi temasya Sukan Universiti Dunia 2011 (Universiade 2011) yang akan berlangsung di Shenzen, China pada 12 hingga 23 Ogos ini.

"Saya tidak meletakkan sebarang sasaran pada kejohanan di China ini kerana saya mahu menjadikan ia sesi pemanas badan setelah lama tidak berlatih selepas insiden itu," katanya.

Sementara Ketua Pengarah ISN Datuk Dr Ramlan Abd Aziz berkata ketika ini agak sukar untuk menilai tahap sebenar kemampuan pelumba itu.

"Apa yang ISN lakukan kini ialah terus memantau kecergasannya serta melakukan ujian.

"Tetapi saya jangka Mohd Azizulhasni akan bersedia sepenuhnya pada Julai ini untuk melakukan latihan intensif dan sedia ke kejohanan di China pada Ogos," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan