suria

Juara Jelajah Eropah Turut Warnai Golf Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR: Juara Jelajah Eropah Rhys Davies akan menyertai barisan pemain bintang termasuk pemain nombor satu dunia Martin Kaymer pada kejohanan Golf Maybank Terbuka Malaysia di sini dari 14 hingga 17 April ini.

Selain Davis dan Kaymer, kejohanan bernilai US$2.5 juta (RM7.6 juta) di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), turut disertai oleh juara tiga kali Jelajah Eropah Nick Dougherty dari England, Soren Kjeldsen (Denmark) dan pemain Sepanyol, Pablo Martin.

Menurut kenyataan penganjur pada Selasa, Davis, 25, dari Wales, menjadi naib juara dalam tiga kejohanan tahun lepas serta tempat ketiga pada Terbuka Malaysia.

Kjeldsen pula membuat kejutan pada kejohanan Terbuka de Andalucia de Golf pada 2009 dan menduduki tempat keenam pada Kejohanan PGA di Amerika Syarikat pada tahun yang sama.

Pemain Denmark berusia 35 tahun itu juga menjuarai Volvo Masters 2008 di Valderrama, Sepanyol.

Martin, 24, pula membuat mencipta sejarah sebagai pemain amatur pertama memenangi satu kejohanan Jelajah Eropah apabila merangkul Kejohanan Terbuka Estoril de Portugal pada 2007.

Kejohanan edisi ke-50 kali ini akan menampilkan beberapa pemain utama Jelajah Eropah dan Asia dalam barisan 156 pemain. - BERNAMA

Artikel Lain