Sukan SEA: Indonesia Masih Belum Pasti Jumlah Acara

Diterbitkan: Sabtu, 5 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Walaupun mesyuarat Persekutuan Sukan SEA di Bali minggu lepas memutuskan 44 jenis sukan dan 545 acara bagi temasya pada November ini, tuan rumah Indonesia mungkin mengurangkan acara kerana faktor teknikal.

Setiausaha Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Indonesia (Inasoc) Abdul Rauf dipetik akhbar Jakarta Post hari ini sebagai berkata, jumlah 545 acara itu belum muktamad dan akan dikurangkan secara automatik berdasarkan kuota penyertaan empat negara.

"Acara yang disertai kurang daripada empat wakil akan digugurkan," katanya menambah jumlah terakhir acara akan diputuskan semasa temasya berlangsung.

"Jika empat atlet tersenarai untuk satu acara dan seorang daripada mereka gagal hadir ketika pertandingan maka penganjur tidak dapat meneruskan acara itu," katanya.

Walaupun banyak aduan berhubung kemampuan Palembang selaku tuan rumah bersama menyiapkan kemudahan termasuk perkampungan sukan menjelang Julai ini, jawatankuasa penganjur di Jakarta bersedia menempatkan atlet yang bertanding di bandar raya itu di hotel-hotel.

"Kita akan menyediakan tempat tinggal yang selesa untuk atlet sepanjang temasya berlangsung. Mungkin tempat itu tidak mewah seperti hotel bertaraf lima bintang, tetapi tetap sesuai," kata Abdul Rauf.

Wakil dari 11 negara bertanding dijadual melawat Palembang pada Julai ini bagi melihat sendiri perkembangan persiapan di situ. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan