Malaysia Sasar Naib Juara Pusingan Pertama Kejohanan Hong Kong 7-Sebelah

Diterbitkan: Khamis, 3 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Skuad ragbi negara mensasarkan untuk muncul naib juara pusingan pertama bagi melayakkan mereka beraksi dalam acara Cup di Kejohanan Hong Kong 7-Sebelah, yang akan berlangsung selama tiga hari mulai 25 Mac ini di Stadium Hong Kong.

Pengurus Besar Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Nabil Ahmad Marzuki berkata dalam laluan ke acara Cup, Malaysia perlu terlebih dahulu menewaskan pasukan Kenya dan Rusia yang diundi bersama skuad kebangsaan dalam pusingan kelayakan.

"Satu lagi pasukan dalam kumpulan yang sama adalah Fiji. Tetapi mungkin sukar untuk menewaskan pasukan tersebut. Jika Malaysia mampu menewaskan Kenya dan Rusia, gelaran naib juara dalam genggaman," katanya kepada Bernama, di sini, Khamis.

Nabil berkata skuad negara dijadualkan menentang pasukan Fiji pada 25 Mac, Kenya dan Rusia pada 26 Mac, seterusnya beraksi dalam pusingan kalah mati pada 27 Mac.

Nabil berkata pemilihan barisan utama 12 pemain skuad kebangsaan ke kejohanan Hong Kong 7-Sebelah masih belum dilakukan dan 18 pelatih akan mula menjalani latihan pusat di Kompleks Sukan IJM-Cobra di Petaling Jaya, bermula esok hingga 6 Mac ini.

"Pemilihan itu akan dilakukan oleh jurulatih Boon Hoon Chee selepas latihan pusat itu tamat. Pemilihan berdasarkan prestasi cemerlang pemain ketika latihan," katanya.

Kali terakhir skuad ragbi kebangsaan bertanding di Kejohanan Hong Kong ialah pada tahun 2003. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan