Monsalve Juara Peringkat Kelima, Raih Gelaran Raja Bukit

Diterbitkan: Khamis, 27 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GENTING HIGLANDS: Pelumba dari pasukan Androni Giocattoli (AND), Jonnatha Monsalve dinobatkan sebagai pemenang peringkat kelima perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011 dari Tapah ke Genting Highlands, Khamis.

Monsalve menamatkan perlumbaan pendakian dengan ketinggian 1679.4 meter dalam masa 3 jam 33 minit 31 saat selepas saingan bermula di Tapah.

Selain menawan podium pada perlumbaan hari kelima ini, Monsalve juga turut merampas Jersi Merah (Raja Bukit) dari Rahim Emami (Azad University Cycling Team-IUA) selepas mengutip mata penuh (25) di zon pendakian berstatus hors, Genting Highlands diikuti rapat pelumba pasukan benua negara, Le Tua (L2A) dari Columbia, Libardo Nino Corredor, manakala tempat ketiga oleh pelumba IUA, Mirsamad Pourseyedi Golakhour.

"Saya berterima kasih kepada semua ahli pasukan saya kerana telah membantu sepanjang pendakian ini walaupun keadaan cuaca agak buruk kerana hujan dan berkabus, namun saya baik dengan keadaan itu.

"Saya juga gembira kerana berjaya dapat melakukan pecutan baik pada hujung perlumbaan sekaligus meninggalkan pencabar terdekat," katanya kepada pemberita selepas tamat perlumbaan.

Sementara itu, Nino Corredor,43, berjaya merampas Jersi Kuning (Pelumba Terbaik Keseluruhan) yang diraih Takeaki Ayabe dari pasukan Aisan Racing Team (AIS) selepas mengumpul masa keseluruhan 15 j 59'46" kelebihan dua saat daripada Monsalve (AND).

"Saya berpuas hati dengan perlumbaan hari ini dengan meraih Jersi Kuning. Sebelum ini saya tidak pasti mengenai Genting, namun saya gembira kerana menamatkan perlumbaan dengan baik.

"Harap selepas ini saya dapat mengekalkan jersi ini kerana ini adalah perlumbaan terakhir sebelum bersara dan selepas ini hanya akan menjadi pelumba amatur sahaja," jelas pelumba veteran ini.

Pada perlumbaan hari ini, tiga Zon Pecutan disediakan iaitu di Sungkai yang menyaksikan Kenny Van Hummel dari pasukan Skil Shimano Cycling Team (SKS), manakala Bradley Potgieter (MTN Qhubeka) mengutip mata penuh di Zon Pecut Kedua-Slim River dan ketiga, di Tanjung Malim.

Selain itu pelumba Farnese Vini-Neri Sottoli (FAR) Andrea Guardini masih memegang Jersi Biru (Raja Pecut) bagi lima hari berturut-turut dan bakal berhadapan dengan cabaran sengit apabila perlumbaan landai akan kembali bermula esok, (Jumaat).

"Pasukan saya ada melakukan pemecahan dan ini membolehkan saya tidak terlalu tertekan dengan perlumbaan. Selepas ini ada lagi lima peringkat perlumbaan dan saya yakin ia semakin sukar.

"Saya perlu mengutip lebih banyak mata sekiranya ingin mengekalkan jersi ini dan saya akan cuba melakukan yang terbaik," katanya.

Bagi Jersi Putih (Terbaik Asia), Emami mendahului pelumba-pelumba Asia lain selepas mengumpul 16j 00'08" dan hanya berbeza lapan saat dengan pelumba yang berada di tempat kedua, Ghader Mizbani, pasukan Tabriz Pertochemical Team (TPT).

Sebelum ini Jersi Putih dipegang Ayabe (AIS) yang menjuarai perlumbaan peringkat keempat, Rabu.

Bagi pasukan terbaik keseluruhan, pasukan IUA berada di tempat pertama, diikuti Tabriz Petrochemical Team dan ketiga Chipotle Development Team, manakala tiga pasukan terbaik Asia turut dikuasai pasukan IUA, Max Success Sports Cycling dan ketiga TPT.

Perlumbaan edisi ke-16 LTdL ini akan meneruskan perlumbaan peringkat keenam dari Rawang ke Putrajaya dengan jarak 106.7km, Jumaat.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan