Tayar Pancit Sekat Kemaraan Adiq

Diterbitkan: Rabu, 26 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

CAMERON HIGHLANDS: Pakar bukit bagi pasukan benua Australia, Drapac Professional Cycling (DPC), Mohd Adiq Hussainie Othman kecewa kerana gagal berada dalam kelompok terbaik perlumbaan peringkat keempat Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011, dari Ayer Tawar ke Cameron Highlands kerana mengalami masalah tayar pancit, Rabu.

Adiq yang berada dalam kelompok pertama 25 kilometer sebelum tamat terpaksa akur dengan keadaan itu sekali gus terpaksa menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-52 keseluruhan, dengan catatan masa 3 jam 47'44".

"Agak terkilan kerana saya telah berada di kelompok depan bersama pelumba lain. Namun tiba-tiba tayar basikal pancit. Walaupun ada rakan membantu ketika itu, ia agak mustahil untuk mengejar kembali kelompok utama itu.

"Saya yakin kalau keadaan itu tidak berlaku, saya boleh menamatkan dalam posisi terbaik keseluruhan. Pada perlumbaan ini, pasukan saya sememangnya telah merancang untuk membawa saya ke depan, tetapi sebaliknya berlaku.

"Secara keseluruhan pada perlumbaan ini, saya masih belum memberi seratus peratus kayuhan kerana sedar esok (Khamis) masih ada lagi satu zon pendakian. Harapnya nanti semua berjalan lancar dan akan cuba membaiki kedudukan saya," katanya kepada media selepas perlumbaan.

Selain itu, ketika ditanya mengenai perasaannya terpilih ke dalam program 'Road To London', Adiq berkata ia satu berita gembira dan menjadi pembakar semangat dalam perlumbaan LTdL ini.

"Saya berterima kasih kepada semua dan akan menggunakan peluang itu sebaik-sebaiknya. Mungkin saya akan menumpukan dalam acara trek nanti," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan