suria

Vansteelant Dan Vodickova Juarai Malakoff Powerman 2010

LUMUT: Atlet duathlon Joerie Vansteelant dari Belgium dan Radka Vodickova dari Republik Czech masing-masing muncul juara kategori elit lelaki dan wanita pada kejohanan Malakoff Powerman 2010 yang berlangsung di Kompleks Sukan Mini, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) di Seri Manjung dekat sini Ahad.

Vansteelant, 28, yang juga juara 2007, mencatatkan dua jam 40 minit dan 44 saat untuk menewaskan rakan senegara Rob Woestenbourghs yang menamatkan saingan dengan masa 2'45:05s.

Vsoren Bystrup Jacobsen dari Denmark di tempat ketiga dengan 2'45:50s manakala peserta tempatan Shahrom Abdullah pula di tempat keenam dengan catatan 3'02:20s.

Juara dari Belgium itu membawa pulang US$5,000(RM15,567) manakala Woestenbourghs pula meraih US$3,000 (RM9,340).

"Saya berasa sangat gembira memenangi kejohanan ini. Sebelum ini, saya menang di tempat yang sama dua tahun lepas dan saya bernasib baik kerana dapat mempertahankan kejuaraan ini.

"Selain itu, saya terpaksa mengharungi cuaca yang amat panas dan hujan di awal perlumbaan. Saya berjaya bersaing dengan peserta lain," katanya kepada Bernama di sini Ahad.

Sementara itu, Shahrom, 31, berkata beliau berpuas hati dengan pencapaiannya hari ini.

"Dengan atlet duathlon bertaraf dunia yang bertanding hari ini, saya gembira dengan prestasi ini memandangkan saya telah memberi yang terbaik seratus peratus.

"Sekarang matlamat saya ialah untuk beraksi cemerlang di Kejohanan Duathlon Asia," katanya.

Dalam perlumbaan elit wanita, Vodickova, 25, yang menang buat kali kedua berturut-turut mencatat 3'01:57s, meninggalkan Camilla Lindholm dari Sweden di tempat kedua dengan masa 3'03:05s manakala Michelle Ann Parsons dari Amerika Syarikat pula ketiga 3'12:48s.

"Ini kali kedua saya bertanding di sini dan juga bersama Lindholm selepas mengharungi saingan yang begitu sengit tahun lepas.

"Ia saingan yang amat sukar memandangkan beliau atlet duathlon yang bagus dan saya juga tidak menjangka untuk menang," kata Vodicka.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff Corporation Berhad, Ahmad Jauhari Yahya berkata Malakoff berbesar hati menganjurkan Powerman Malaysia sebagai sebahagian daripada Siri Powerman Antarabangsa bagi kali kesembilan berturut-turut di Malaysia dan kelima di Manjung.

"Menjadi harapan kami agar acara ini akan terus mempromosikan negeri Perak, dan secara khususnya perbandaran Manjung, sebagai destinasi tarikan pelancong," katanya.

Keputusan: LELAKI

Elit:

1. Joerie Vansteelant (Belgium) 2'40:44

2. Rob Woestenborghs (Belgium) 2'45:06

3. VSoren Bystrup Jacobsen (Denmark) 2'46:29

Pecut:

1. Robert Skazidroga (Jerman) 1'34:03

2. Mark John Williams (United Kingdom) 1'35:27

3. Mohd Fitri Saman (Malaysia) 1'37:13

Lumba berganti-ganti:

1. PSL 2 ATM (Malaysia) 2'48:44

2. Tranz TT (Malaysia) 3'19:26

3. Rodjana (Malaysia) 3'20:41

WANITA

Elit:

1. Radka Vodickova (Republik Czech) 3'01:57

2. Camilla Lindholm (Sweden) 3'03:05

3. Michelle Ann Parsons (United Kingdom) 3'12:48

Lumba berganti-ganti:

1. Chay Liying Michelle (Singapura) 1'47:19

2. Apple Lim (Malaysia) 1'47:37

3. Adrienne Low (Singapura) 1'56:31

Pecut berganti-ganti:

1. Malakoff Cycling Club (Malaysia) 2'22:37

2. Kelabing (Malaysia) 2'28:37

Pasukan campuran berganti-ganti:

1. PSL TLDM (Malaysia) 3'25:49

2. Mr K (Malaysia) 3'34:34

3. KRI 2 (Malaysia, Myanmar) 3'36:51 - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Liga Perdana Inggeris

Artikel Lain