suria

Kriket Wanita Janji Beri Saingan Di Guangzhou

SEPANG: Pasukan kriket wanita negara tidak meletakkan harapan tinggi untuk meraih sebarang pingat pada Sukan Asia memandangkan mereka baru dibentuk malah terpaksa bersaing dengan pasukan handalan lain.

Jurulatih kebangsaan Mohd Haris Abu Bakar berkata perlawanan pertama menentang tuan rumah, China akan menjadi kayu pengukur untuk merangka strategi di samping membakar semangat pemain negara supaya beraksi lebih mantap pada penyertaan julung kali pasukan itu ke kejohanan sukan kedua terbesar dunia itu.

"Walaupun kita tidak mengetahui kekuatan pesaing namun kita akan memfokuskan untuk mengalahkan China dan Thailand kerana mereka juga pertama kali mengambil bahagian pada Sukan Asia ini.

"Saya tidak merasakan pasukan negara akan menang menentang Pakistan kerana mereka adalah negara yang mendominasi dalam arena kriket," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, Khamis.

Pasukan kriket wanita negara bersama-sama skuad boling, menembak, hoki lelaki, catur, sepak takraw dan snuker bertolak ke Guangzhou, China dari KLIA pagi ini untuk menyertai temasya yang bermula hari ini hingga 27 November ini.

Pasukan negara diletakkan dalam saingan Kumpulan A bersama-sama tuan rumah, China, Thailand dan Pakistan.

Mohd Haris berkata tujuh pemain merupakan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mewakili pasukan remaja negara bawah 19 tahun.

"Kita juga telah mengambil tiga orang pemain yang merupakan pelajar perempuan tingkatan dua sekolah menengah Kinrara kerana kita lihat mereka mempunyai skil yang bagus," katanya.

Mereka ialah Nurroikha Choiri, Nur Amira Kamarudin dan Intan Jamahidayu Jaafar, masing-masing berusia 14 tahun. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain