Aksi Pelumba, Promosi Hebat Tarik Pengunjung Ke Litar Sepang

Diterbitkan: Ahad, 7 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Perlumbaan pusingan 9 di Litar SIC menampilkan aksi lebih sengit dan mencabar.
Perlumbaan pusingan 9 di Litar SIC menampilkan aksi lebih sengit dan mencabar.

SELEPAS lapan pusingan berjaya diharungi, cabaran siri Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang merentasi seluruh Semenanjung Malaysia, kini memasuki pusingan kedua terakhir dengan perlumbaan seterusnya diadakan di Litar Antarabangsa Sepang pada 20 hingga 21 November ini.

Di trek Sepang Selatan, pentas perlumbaan bagi Pusingan 9 pasti menghadirkan pertarungan sengit dengan lakaran trek yang mengutamakan kepantasan jentera berbanding dengan cabaran terdahulu seperti di Kuala Terengganu (Pusingan 5), Teluk Intan (Pusingan 6), Melaka (Pusingan 7) dan Pekan (Pusingan 8) yang kesemuanya menghadirkan saingan di atas litar berteknikal.

Tambah menarik, perebutan bagi gelaran kelas Wira, CP115 dan CP130 masih lagi terbuka buat pelumba dan keputusan yang bakal dicapai di Sepang akan menjadi titik penentuan gelaran itu milik siapa.

Justeru, peminat sukan bermotor bakal disajikan pertarungan cukup sengit dan juga persembahan berkelas A dari para pelumba yang masing-masing mahu menakluki gelaran utama musim ini.

Selain dari aksi dan keterujaan yang dipamerkan para pelumba, khemah promosi yang disediakan sepanjang Kejuaraan Cub Prix berlangsung cukup sesuai untuk semua golongan dan bukan sekadar bagi tumpuan buat peminat sukan bermotor sahaja.

Di sini, peminat yang hadir, bakal disajikan pelbagai aktiviti dari kuiz, peraduan, permainan untuk kanak-kanak, sesi pandu uji, karaoke dan peluang untuk memenangi hadiah menarik yang ditawarkan.

Pengelola bagi Kejuaraan Cub Prix, Ron Hogg yang juga Pengarah Promosi Safe Aim Mutual Sdn Bhd mengalu-alukan kehadiran peminat sukan bermotor dan orang ramai ke Sepang bagi memeriahkan siri kejuaraan ini.

"Menariknya di sini, nasib semua pencabar (pelumba) masih belum diketahui dan kedudukan mata di antara pelumba juga amat sengit. Selain aksi perlumbaan, khemah promosi juga turut menawarkan aktiviti hujung minggu yang hebat buat pengunjung di Sepang ini,” ujar Ron.

“Peminat-peminat harus mengunjungi kawasan promosi. Di sana terdapat pelbagai aktiviti yang dikendalikan oleh PETRONAS, Honda, Suzuki, Yamaha, Racing Boy, Faito, Uma Racing, MotodotMania, X-Dot, Maxxis, SSS, Excel Racing, Kappa, Samurai dan Alla Fonte untuk kanak-kanak dan orang dewasa," kata Ron.

Tiket ditawarkan pada harga RM20 bagi dewasa dan bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah, masuk adalah percuma.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan