Cabaran Sengit Menanti Skuad Rajagobal

Diterbitkan: Jumaat, 5 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

AWAL pagi esok (Jumaat), pasukan bola sepak kebangsaan bakal terbang ke Guangzhou, China bagi menggalas cabaran negara pada Sukan Asia ke-XVI dan pastinya harapan untuk melihat aksi terbaik turut disandarkan kepada pemenang pingat emas Sukan Sea tahun lalu ini.

Secara realistik, harapan untuk pasukan meraih pingat amat tipis sekali, apatah lagi untuk merangkul emas memandangkan pasukan kendalian K.Rajagobal ini bakal berdepan dengan pasukan-pasukan hebat yang telah beraksi di peringkat dunia.

Pasukan Malaysia diundi untuk berada dalam Kumpulan A bersama tuan rumah China, Jepun dan Kyrgyzstan.

Bukan memperkecilkan kemampuan skuad kebangsaan sendiri, namun secara jelasnya kemampuan skuad kita belum setanding dengan mereka itu, lebih-lebih lagi pasukan Jepun yang ternyata sekali telah mempamerkan aksi kelas dunia pada Piala Dunia Jun lalu.

Hakikat ini diakui sendiri oleh Rajagobal dalam satu sidang media baru-baru ini, dan beliau sendiri tidak meletakkan sebarang sasaran, lebih-lebih lagi dengan ketiadaan 12 orang pemain termasuk enam tonggak utama yang mengalami kecederaan.

Antaranya pemain yang tidak disenaraikan ialah Mohd Aidil Zafuan, Zaquan Adha Abdul Radzak, Mohd Sabre Mat Abu dan Azmi Muslim, Mohd Sharbinee Allawee, Bunyamin Omar dan Gary Steven Robbat, Baddrol Bakhtiar, Mohamad Ashaari Samsudin, Mohd Safee Mohd Sali, Mohd Nasriq Baharom dan Mohd Amirulhadi Zainal.

Selain masalah kecederaan, skuad Malaysia juga sebenarnya menghadapi masalah kekangan masa latihan memandangkan ramai pemain terlibat dengan perlawanan tempatan dan tempoh latihan insentif amat terhad. Mujurlah rata-rata pemain yang terpilih itu adalah mereka yang pernah beraksi bersama sebelum ini.

Bagi mengurangkan tekanan ini, Rajagobal mengambil langkah bijak dengan memasukkan tiga pemain senior bagi menggantikan pemain-pemain yang tercedera itu dan sekurang-kurangnya ia mampu menutup kekurangan beberapa posisi.

Tiga pemain yang menjadi harapan untuk berkongsi pengalaman mereka adalah Norhafiz Zamani Misbah,S. Kunalan dan Norshahrul Idlan Talaha.

Harapan untuk melihat mereka mara ke pusingan kedua adalah tipis, namun kita perlu ingat bola itu bulat dan sekiranya pada hari perlawanan semua pemain menunjukkan aksi konsisten, mereka mampu membuat kejutan. Dan keadaan ini pernah berlaku pada Sukan Sea di Laos tahun lalu apabila mereka menewaskan juara bertahan Thailand untuk mara ke peringkat akhir.

Sekiranya mereka mampu memenangi perlawanan pertama menentang Kyrgyzstan pastinya ia menjadi semangat untuk menempuh saingan sengit pasukan Jepun dan China.

Jika dibandingkan dengan kedudukan ranking dunia, skuad Malaysia (ke-149 dunia) mempunyai ranking lebih baik berbanding Kyrgyzstan (ke-173 dunia).

Dan sebagai rekod Sukan Asia, pasukan Malaysia pernah membawa pulang dua kali pingat gangsa iaitu pada tahun 1962 dengan menewaskan Vietnam Selatan dan pada 1974 menundukkan Korea Utara.

Sementara itu, pasukan China yang akan beraksi di tempat sendiri pastinya ingin meraih gelaran juara kumpulan dan berdasarkan pencapaian sebelum ini, mereka mampu mengetepikan pencabar lain.

Selain pingat perak, skuad kendalian Gao Hongbo ini juga turut meraih pingat gangsa pada tahun 1978 dan 1998.

China yang kini berada di ranking ke-89 dunia adalah sebuah pasukan yang terkenal dengan corak permainan pantas.

Pun begitu, pasukan Matahari Terbit, Jepun pastinya menjadi pilihan pada saingan kumpulan ini kerana aksi di Afrika Selatan Jun lalu telah menunjukkan pasukan ini adalah yang terbaik di Asia dengan menduduki ranking ke-30 dunia.

Jepun yang terkenal dengan corak permainan yang mantap merupakan pemegang pingat perak (2002) dan gangsa pada tahun 1951 dan 1966.

Walaupun harapan untuk menang agak samar, namun apa yang lebih penting adalah semangat juang yang tinggi perlu ada dalam diri setiap pemain serta ketepikan perasaan takut kepada pihak lawan dan jangan kalah sebelum berjuang.

Jadual perlawanan pasukan Malaysia:

Malaysia lwn Kyrgyzstan (7 Nov)

Malaysia lwn Jepun (10 Nov)

Malaysia lwn China (13 Nov)

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan