suria

Aidil Sasar Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100PLUS/FAM

KUALA LUMPUR: Selepas kecewa pada final Piala Malaysia Sabtu lalu, tonggak utama Negeri Sembilan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak berharap menebus kekecewaan itu dengan meraih Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100PLUS/FAM 2010 pada Selasa.

Bukan sahaja Kelantan menghampakan juara bertahan Negeri Sembilan daripada mengekalkan Piala Malaysia, perlawanan akhir itu juga menyaksikan Aidil Zafuan terkeluar pada pertengahan perlawanan akibat kecederaan.

Aidil Zafuan telah dicalonkan bagi Anugerah Pemain Pertahanan Terbaik dan akan bersaing dengan Mod Nasriq Baharom dari Selangor, Azizi Mat Rose (Kelantan), Marzuki Yusof (Terengganu) dan Reithaudeen Emran (Sabah).

Sekiranya beliau dapat mengumpul undi yang secukupnya, Aidil Zafuan juga mempunyai potensi untuk merangkul Anugerah Pemain Paling Bernilai.

"Orang mungkin berpendapat anugerah ini tidak begitu besar tetapi bagi seorang pemain, ianya satu pengiktirafan atas usaha mereka. Saya bersyukur dengan adanya anugerah ini, " kata Aidil Zafuan seperti dipetik dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Aidil Zafuan merupakan pemain yang menunjukkan persembahan konsisten bagi pasukan kebangsaan dan Negeri Sembilan sejak beberapa tahun lalu dan antara pemain yang membantu Malaysia merangkul emas pada Sukan SEA Laos 2009.

Bagi memastikan hanya pemain terbaik dipertimbangkan untuk anugerah tersebut, sebuah panel pemilihan terdiri daripada jurulatih kebangsaan, ahli Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM) dan pegawai Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengeluarkan senarai calon.

Senarai calon itu kemudian diedarkan kepada semua jurulatih dan ketua pasukan dalam Liga Super dan Liga Perdana untuk membuat pilihan masing-masing untuk anugerah itu.

Senarai Calon Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100PLUS/FAM 2010:

PENJAGA GOL TERBAIK:

1. Mohd Sharbinee Allawee (Terengganu) 2. Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan) 3. Sani Anuar Kamsani (Negeri Sembilan) 4. Hamsani Ahmad (Selangor) 5. Syamsuri Mustaffa (T-Team)

PERTAHANAN TERBAIK: - 1. Mod Nasriq Baharom (Selangor) 2. Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak (Negeri Sembilan) 3. Azizi Mat Rose (Kelantan) 4. Marzuki Yusof (Terengganu) 5. Reithaudeen Emran (Sabah)

PEMAIN TENGAH TERBAIK: 1. Safiq Rahim (Selangor) 2. Mohd Amri Yahyah (Selangor) 3. Amirulhadi Zainal (Selangor) 4. S. Kunalan (N. Sembilan) 5. Baddrol Bakhtiar (Kedah)

PENYERANG TERBAIK: 1. Norsharul Idlan Talaha (Kelantan) 2. Mohd Ashaari Shamsuddin (Terengganu) 3. Mohd Safee Sali (Selangor) 4. Azlan Ismail (Kedah) 5. Mohd Zamri Hassan (PKNS)

PEMAIN MUDA TERBAIK: 1. Mohd Faizal Abu Bakar (Penyerang Kedah - 20 tahun)) 2. Khairul Fahmi Che Mat (Penjaga Gol Kelantan - 21 tahun)

JURULATIH TERBAIK: 1. K. Devan (Selangor) 2. B. Sathianathan (Kelantan) 3. Gary Phillip (Sabah) 4. E. Elavarsan (Felda United) 5. Ahmad Yusof (Kedah) - BERNAMA

Artikel Lain