suria

Atlet Jepun Berusia 91 Tahun Bakal Sertai Kejohanan Olahraga Master Asia Ke-16

KUALA LUMPUR: Atlet lelaki dari Jepun, Hida Hichiro, yang berusia 91 tahun, merupakan peserta tertua yang menghantar penyertaan untuk mengambil bahagian dalam Kejohanan Olahraga Master Asia ke-16 yang akan diadakan di sini dari 6 hingga 12 Disember ini.

Setiausaha Kehormat POMM, S. Sivapragasam berkata kejohanan itu terbuka kepada lima kategori umur iaitu 35 hingga 39 tahun, 40 hingga 44 tahun, 45 hingga 49 tahun, 50 hingga 55 tahun dan 95 hingga 100 tahun.

Berikutan cuti perayaan Aidilfitri, tarikh tutup bagi peserta Malaysia dilanjutkan sehingga 16 September, katanya.

Sementara itu, kejohanan berkenaan berjaya menarik penyertaan 1,500 atlet dari 20 buah negara Asia setakat Jumaat.

Menurut kenyataan Persatuan Olahraga Master Malaysia (POMM) Sabtu, antara negara yang telah menghantar borang penyertaan ialah India, Jepun, Pakistan, Uzbekistan dan China, manakala Mongolia dan Iran pula telah mengesahkan penyertaan mereka pada kejohanan kali ini.

Kejohanan Olahraga Master Asia ke-16 akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil dan dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek. - BERNAMA

Artikel Lain