Nabil Pemandu Termuda Sertai Sesi Ujian Aero - Sukan | mStar

Nabil Pemandu Termuda Sertai Sesi Ujian Aero

Diterbitkan: Khamis, 2 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Nabil menunjukkan prestasi membanggakan ketika sesi ujian aero di Duxford, London pada Rabu.
Nabil menunjukkan prestasi membanggakan ketika sesi ujian aero di Duxford, London pada Rabu.

PELUMBA Formula BMW Pacific 2010, Muhammad Nabil Jan Al Jeffri menjadi pemandu uji termuda dalam sejarah Formula Satu (F1) pada usia 16 tahun apabila menjalani sesi ujian aero bersama pasukan Lotus Racing di Duxford, London pada Rabu.

Fairuz Fauzy dan Heikki Kovalainen bertungkus-lumus memberikan tunjuk-ajar kepada pelumba muda negara itu dalam melengkapkan sesi ujian aero dan memberi pasukan itu latihan secukupnya di pitstop.

"Saya begitu teruja berpeluang memandu jentera T127. Ia saat terindah dalam hidup saya. Saya berterima kasih kepada Lotus Racing, Tony Fernandes dan Mike Gascoyne kerana memberi peluang kepada saya untuk memandu jentera itu," katanya.

Nabil mengakui berasa gementar apabila diberi peluang memandu uji jentera itu buat pertama kalinya.

"Saya diberitahu pecutannya begitu menakjubkan dan sistem brek lebih baik berbanding jentera yang pernah saya kendalikan. Saya mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri tetapi Heikki dan Fairuz sentiasa mengajar saya cara bagaimana untuk mengawal jentera itu," jelasnya.

Pelumba yang mula melakar nama dalam saingan go-kart itu tidak mengambil masa terlalu lama untuk menyesuaikan diri dengan jentera itu dan berasa bangga kerana berjaya merealisasikan impiannya sejak kecil untuk melangkah ke dunia F1.

Sementara itu, Kovalainen yang turut hadir pada sesi ujian aero berkenaan menyifatkan ia pengalaman berguna untuk Nabil dan pada masa sama berasa bangga melihat corak pemanduannya.

"Dia masih muda dan pengalaman ini akan diingatinya seumur hidup. Apabila anda merasai kuasa jentera F1 buat pertama kalinya, anda akan melalui perasaan luar biasa. Dia melakukannya dengan baik dan cepat belajar," ujarnya.

Ketua Pegawai Teknikal, Mike Gascoyne berkata, dia amat berpuas hati dengan penampilan Nabil, semalam.

Katanya, sesi ujian aero merupakan bahagian penting dalam pembangunan berterusan jentera pasukan dan memberi peluang kepada pemandu muda seperti Nabil untuk membantu Lotus Racing maju selangkah ke hadapan.

"Dia menamatkan program seperti dirancang. Kami tidak boleh mengharapkan prestasi luar jangkaan daripadanya. Saya yakin pengalaman ini akan menyuntik kariernya pada masa depan," kata Gascoyne.

Pada masa sama, Ketua Pasukan Lotus Racing, Datuk Seri Tony Fernandes memberitahu, pertama kali dia memberi peluang kepada Nabil untuk memandu jentera pasukan, dia sukar mempercayainya. Namun beliau begitu serius terhadap perkara itu untuk membantu Nabil melebarkan kariernya.

"Dia membalas kepercayaan saya dengan mempamerkan aksi menakjubkan. Dia sentiasa membuktikan kemampuannya di litar. Saya percaya dia akan memanfaatkan pengalaman ini untuk membina kariernya. Tahniah Nabil, anda seorang superstar," ujarnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan