suria

Lapan Pemain Tenis Negara Jalani Latihan Di Sepanyol

KUALA LUMPUR: Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) akan menghantar lapan pemain muda untuk menjalani latihan di bawah bekas pemain ATP dunia, Albert Portas, di Barcelona, Sepanyol.

Presiden LTAM Datuk Abdul Razak Latiff berkata pemain berusia 16 hingga 18 tahun itu akan menjalani latihan selama dua bulan dan akan bertolak ke Barcelona esok.

"Ia bukan masalah tidak ada jurulatih di sini tetapi kita tidak mempunyai pusat latihan yang menyeluruh," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kejohanan Tenis ATP Terbuka Malaysia, di sini, Isnin.

Portas merupakan bekas pemain ranking ke-30 ATP dunia dan pernah bertanggungjawab melatih pemain Slovakia, Daniela Hantuchova, pemain wanita ranking ke-25 dunia.

"Pemain telah menunjukkan peningkatan yang boleh dibanggakan selepas kali pertama kita menghantar mereka menjalani latihan selama enam minggu di tempat yang sama pada awal tahun ini," katanya.

Abdul Razak berkata semasa berada di Sepanyol, pemain juga akan menyertai banyak kejohanan di sana serta mengadakan latihan dengan pemain yang lebih handal.

Pemain akan didedahkan dengan latihan menggunakan gelanggang tanah liat di mana ia memerlukan aspek fizikal yang tinggi, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain