suria

Program Pembangunan Pemain Muda Perlu Diperhebat, Kata Misbun

MELAKA: Program pembangunan pemain muda bagi sukan badminton di negara ini perlu diperhebatkan bagi menandingi program di negara lain terutama China, kata jurulatih perseorangan badminton negara Datuk Misbun Sidek.

Beliau berkata China memberi latihan intensif kepada pemain muda mereka pada usia seawal 13 tahun dan apabila mereka berumur 17 hingga 18 tahun, mereka sudah menjadi pemain bertaraf dunia.

"Kita tamat sekolah menengah saja (17 tahun) baru beri latihan intensif, kita ketinggalan tiga hingga empat tahun," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup dan penyampaian sijil Kem Badminton Nusa Mahsuri Peringkat Zon Selatan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Perpaduan, Belia dan Sukan Melaka Datuk Ab Karim Ab Sulaiman di sini.

Kem tiga hari itu sejak Jumaat, menyaksikan 65 pemain muda dari Melaka, Johor dan Negeri Sembilan dilatih oleh Misbun, pemain badminton negara Roslin Hashim, bekas pemain badminton negara Rahman Sidek dan pemain remaja negara Misbun Ramdan Misbun.

Katanya, kem itu yang dianjurkan sejak sepuluh tahun lepas, meletakkan had usia pemain semuda lapan tahun hingga 12 tahun kerana pada usia tersebut kesan yang akan diperolehi lebih besar dimana pemain pada usia tersebut akan mempunyai masa yang panjang untuk mengembangkan bakat mereka sebelum mencecah usia 17 tahun.

Misbun berkata selepas kem latihan itu, pemain muda perlu diberi pendedahan bermain di peringkat sekolah, negeri dan kebangsaan dan sekiranya mereka menyinar, pemain tersebut akan diserapkan ke Sekolah Sukan Bukit Jalil pada usia 13 tahun.

Beliau akan menjelajah ke seluruh negara menghadiri beberapa pertandingan khususnya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-13 di Melaka bulan depan, dalam usaha mencungkil bakat baru.

"Pada SUKMA kali ini, saya akan hadir untuk memantau prestasi pemain muda negara yang akan mewakili negeri masing-masing dan mencadangkan agar had umur 23 tahun atlet Sukma yang bertanding diturunkan kepada 20 tahun," katanya.

Misbun juga berkata komponen paling penting dalam melahirkan seorang pemain bertaraf dunia ialah pembangunan fizikal dan disiplin pemain.

Katanya kekalahan Datuk Lee Chong Wei pada Piala Thomas lepas tidak akan melemahkan semangat anak didiknya itu dan mereka sedang dalam persiapan untuk menghadapi Super Series Terbuka Singapura dan Indonesia akan datang. - BERNAMA

Artikel Lain