suria

Jadikan Kekalahan Sebagai Iktibar: Razif

Chong Wei tunduk kecewa selepas gagal membalas pukulan Lin Dan.
Chong Wei tunduk kecewa selepas gagal membalas pukulan Lin Dan.
Chong Wei tunduk kecewa selepas gagal membalas pukulan Lin Dan.

KUALA LUMPUR: Lagenda badminton negara, Razif Sidek, 48, berharap agar kekalahan 0-3 pasukan Piala Thomas negara kepada tembok besar China pada aksi separuh akhir semalam menjadi pengajaran buat semua pemain.

Kata-kata itu terpancul selepas Malaysia dilihat memberi laluan mudah kepada China untuk bertemu dengan Indonesia pada aksi final esok.

Memang tidak dinafikan China mempunyai tiga pemain perseorangan yang hebat jika dibandingkan dengan Malaysia yang hanya mengharapkan jaguh nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei untuk menghadiahkan mata pertama buat negara.

"Saya akur dengan kekalahan ini. Walaupun kita melangkah ke peringkat separuh akhir, perancangan dari awal amat penting," katanya ketika ditemui selepas tamat pertemuan separuh akhir semalam.

Menurutnya, pemain-pemain senior perlu mencurahkan ilmu dan berkongsi pengalaman dengan pemain-pemain pelapis sedia ada mengenai corak permainan di peringkat antarabangsa.

Jika pendekatan itu dilakukan, Razif percaya pemain-pemain pelapis lebih mengetahui apa itu istilah juara dan akan berusaha mengekalkan permainan konsisten.

Jelasnya, kekalahan itu bukan saja memusnahkan impian negara untuk menamatkan penantian selama 18 tahun tetapi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu memandang serius perkara ini.

"Sudah semestinya tanggungjawab berat dipikul Chong Wei sehingga memberi tekanan kepadanya untuk mencatat kemenangan di hadapan ribuan penyokong sendiri," katanya.

Melihat kepada prestasi terkini barisan pemain China, Razif menegaskan Malaysia perlu membuat persiapan awal yang lebih terperinci sebelum Sukan Olimpik 2012.

"Kita ada banyak perlawanan seperti Sukan Komanwel dan Sukan Asia sebagai medan untuk meningkatkan mutu persembahan setiap pemain. Yang penting kita perlu kekalkan konsistensi supaya tidak membazir mata," tegasnya.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek secara umumnya, menyuarakan rasa kecewa dengan kekalahan pasukan negara, semalam.

Beliau sendiri menegaskan akan bertemu dengan BAM, barisan jurulatih dan semua pihak yang terlibat sepanjang kejohanan itu untuk berbincang mengenai program pembangunan yang lebih baik demi meningkatkan mutu badminton negara yang kini dilihat semakin merosot.

"Badminton adalah antara sukan yang mampu menyumbang pingat untuk negara. Jadi, kita akan duduk berbincang bagi mencari pendekatan yang lebih kompresif," katanya.

Jelas beliau, bagi meningkatkan standard skuad badminton negara, akademi badminton negara akan disiapkan secepat mungkin begitu juga masalah-masalah yang melibatkan BAM.

Artikel Sebelum

Webber Takluk Monaco

Artikel Berikut

Belia Jaguh Negara

Artikel Lain