suria

Sarawak Sasar Dua Pingat Emas Acara Lumba Basikal Di Sukma

KUCHING: Sarawak menyasarkan sekurang-kurangnya dua pingat emas dalam acara berbasikal pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 di Melaka Jun ini, kata Naib Presiden Persatuan Berbasikal Sarawak (PBS) Irwan Zulkarnain hari ini.

Beliau berkata skuad berbasikal Sarawak menaruh harapan kepada pelumba basikal kebangsaan Junaidah Juss, 21, dalam acara "Cross Country Mountain Bike" dan Ghazali Hakiki Ali Samson, 21, dalam acara "Mountain Bike Down Hill" untuk mencapai sasaran itu.

Pada temasya Sukma di Terengganu dua tahun lepas, skuad basikal Sarawak berjaya merangkul satu pingat emas dan dua perak.

Ketika dihubungi hari ini, Irwan berkata tujuh pelumba lelaki serta tujuh pelumba perempuan akan dipilih untuk mewakili Sarawak pada Sukma tahun ini dan senarai pelumba akan dimuktamadkan akhir April ini.

Irwan berkata skuad basikal Sarawak akan mempersiapkan diri untuk temasya Sukma tahun ini dengan menyertai lebih banyak perlumbaan sebagai gelanggang 'pemanas badan.'

Antara perlumbaan yang dianjurkan oleh PBS ialah perlumbaan berbasikal kriterium Masja di Petra Jaya di sini hari ini untuk memberi pendedahan kepada pelumba-pelumba skuad basikal negeri.

Beliau berkata acara tahunan ini adalah sebahagian daripada kalendar persatuan bagi menggalakkan sukan berbasikal di negeri ini selain mencungkil bakat pelumba pelapis.

Dua acara utama lebuh raya dan basikal bukit menampilkan empat kategori iaitu terbuka lelaki dan wanita, veteran dan lelaki bawah 17 tahun.

Dua acara sampingan turut diadakan iaitu kanak-kanak bawah 12 tahun dan acara 'heavyweight' bagi peserta yang mempunyai berat badan melebih 100kg.

Irwan berkata pada tahun ini, pelumba bersaing dalam acara lelaki dan wanita bagi merebut Piala Pusingan Shahari Bujang untuk memperingati bekas jurulatih negeri, Shahari Bujang, yang meninggal dunia akibat kanser usus awal tahun ini.

Sementara itu, pelumba kebangsaan Junaidah Juss menjuarai kategori Mountain Bike on Road dan juga Road Bike Piala Pusingan Shahari Bujang bagi kategori wanita terbuka.

Dalam perlumbaan basikal kriterium Masja yang diadakan di Petra Jaya pagi ini, wakil negeri, Eznol Hafiz, merangkul tempat pertama bagi acara Mountain Bike on Road bagi kategori lelaki bawah 17 tahun dan juga acara Road Bike bagi kategori lelaki bawah 17 tahun.

Bekas pelumba negeri Samsul Ali Hamdan pula menjuarai acara Mountain Bike on Road bagi kategori lelaki terbuka dan acara Road Bike Piala Pusingan Shahari Bujang bagi kategori lelaki terbuka. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain