Hoki Piala Dunia: England Tumpaskan Pasukan Pilihan Australia 3-2

Diterbitkan: Isnin, 1 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

NEW DELHI: Pasukan pilihan, Australia mengalami kejutan awal dalam saingan Hoki Piala Dunia kali ke-12 selepas tewas kepada England 2-3 dalam perlawanan pertama yang berlangsung di sini semalam.

Australia bagaimanapun membuka jaringan awal hasil pukulan penalti pada minit ke-21 yang disempurnakan oleh kapten pasukan, Jamie Dwyer bagi mendahului kedudukan namun pasukan itu cepat kehilangan momentum.

England yang belum pernah menjulang trofi hoki Piala Dunia hanya memerlukan tiga minit untuk menyamakan kedudukan apabila Ashley Jackson menjaringkan gol hasil daripada gerakan sudut penalti.

James Tindall kemudiannya menjaringkan gol kedua buat England untuk mendahului 2-1 pada minit-minit akhir separuh masa pertama.

Sebaik babak kedua bersambung, pasukan England yang menjuarai kejohanan Eropah 2009 dan menduduki ranking keenam dunia terus memberikan tekanan terhadap kubu lawan dan hasilnya Tindall menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-40 untuk meletakkan England selesa mendahului 3-1.

Pemain-pemain England yang mempamerkan semangat juang yang tinggi dan kebal bertahan di benteng pertahanan berjaya menyekat serangan balas pantas yang dilakukan oleh pemain-pemain Australia yang terdesak memburu gol.

Sehinggalah pada minit ke-65, Australia berjaya merapatkan jurang gol menerusi pukulan sudut penalti menjadikan kedudukan 3-2.

Pasukan Australia yang berada di ranking kedua dunia mensia-siakan 12 pukulan sudut penalti yang diperolehi dengan penyudah yang hambar, membolehkan England menang dengan keputusan 3-2.

Sementara itu, dalam perlawanan pembukaan kejohanan itu, Sepanyol bangkit daripada ketinggalan untuk mengatasi Afrika Selatan dengan keputusan 4-2.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Beijing 2008 itu ketinggalan 0-1 hasil jaringan penyerang Afrika Selatan Julian Hykes pada minit ke-16, namun tiga minit kemudian Sepanyol berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan padang Roc Oliva untuk kedudukan 1-1.

Sepanyol kemudiannya berjaya mendahului kedudukan pada minit ke-20 menerusi David Alegre, bagaimanapun kedudukan itu tidak kekal lama apabila pemain Afrika Selatan Ian Haley berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-30, kedudukan 2-2 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Afrika Selatan yang membuat penampilan kali keempat dalam kejohanan itu gagal menyaingi kehebatan Sepanyol yang lebih berpengalaman pada separuh masa kedua.

Sepanyol tidak menunggu lama apabila pemainnya Rodrigo Garza meletakkan pasukan mereka di depan pada minit ke-45, sebelum Pau Quemad menjadikan Sepanyol selesa dengan gol keempat pada minit ke-61 untuk kedudukan sehingga tamat perlawanan Sepanyol menang 4-2. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan