suria

Kementerian Tidak Mahu Tergesa-Gesa Campur Tangan Soal Harimau Muda

SINTOK: Kementerian Belia dan Sukan tidak mahu tergesa-gesa untuk campur tangan dalam soal hasrat pasukan Harimau Muda A untuk kembali ke saingan Liga Super selepas tidak dapat menyertai Liga S 2010 Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata pihaknya percaya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mempunyai alternatif dari awal sekiranya masalah yang melibatkan skuad bawah 21 tahun negara itu berlaku.

"Pihak kementerian tidak mahu ada langkah lain lagi yang boleh menyebabkan keadaaan jadi lebih kusut, setakat ini belum ada apa-apa perbincangan dengan pihak FAM mengenai masalah ini, namun saya harap mereka mampu cari jalan penyelesaian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Malam Wushu ke-13, anjuran Kelab Wushu Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini malam tadi.

Sementara itu mengenai cadangan menghantar pemain skuad Bawah 23 tahun egara beraksi dengan kelab-kelab terkemuka Eropah, Ahmad Shabery berkata satu jawatankuasa akan ditubuhkan untuk meneliti pelaksanaan projek itu.

Menurutnya antara program yang dicadangkan termasuk projek pembangunan bola sepak, cadangan melatih lebih 5,000 pelajar atau mereka yang terlibat, program kejurulatihan, dan 'attachment' pemain, namun katanya sebarang keputusan hanya akan dicapai sebaik sahaja jawatankuasa berkenaan ditubuhkan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain