suria

Cabaran Getir Buat Sathianathan Buktikan Keupayaannya

KOTA BAHARU: Bekas jurulatih kebangsaan B. Sathianathan meminta peminat negeri supaya bersabar dan memberi sokongan kepada pasukan Kelantan bagi mencapai tahap sebenar pasukan itu dalam kancah Liga Super musim ini.

Sathia, yang menggalas tanggungjawab ditinggalkan Peter Butler sejak kempen Piala Malaysia musim lepas, bagaimanapun mengakui laluan sukar untuk pasukan 'Red Warriors' menduduki tangga ketiga dalam kempen kali ini.

Jurulatih Kelantan yang baru itu berazam untuk terus menyuntik keyakinan di kalangan pemain dan memperbaiki teknik penyudah barisan depan skuad Kelantan.

Selepas mengharungi empat perlawanan dalam Liga Super, Kelantan menduduki tangga ketujuh dengan lima mata, hasil daripada satu kemenangan, dua seri dan sekali tewas.

Sathia berkata skuad bimbingannya perlu memburu tiga mata penuh apabila menentang pasukan Johor FC di gelanggang sendiri esok dan akan melakukan beberapa rombakan dalam pasukan.

Selepas tewas tipis 0-1 dengan Kedah Selasa lalu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa berkata pasukan itu akan menurunkan semula penjaga gol berpengalaman Halim Napi.

Finalis Piala Malaysia dan FA musim lalu yang dibarisi dengan beberapa pemain berpengalaman seperti Indra Putra Mahayuddin, Hairudin Omar, Akmal Rizal Rakhli, Nor Shahrul Idlan Talaha dan S. Chanturu meletakkan sasaran tiga piala pada tahun ini.

Sathianathan berkata perlawanan dengan Johor pada Sabtu ini menjadi cabaran sukar kerana Kelantan akan bertemu dengan pasukan yang berpengalaman serta konsisten dengan tahap permainan pasukan.

"Dalam perlawanan menentang Kedah, kami mengawal perlawanan dan menghasilkan beberapa cubaan namum nasib tidak menyebelahi kami," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain