Piala Malaysia Diarak Di Seluruh Negeri Sembilan

Diterbitkan: Jumaat, 13 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Penduduk Negeri Sembilan yang masih bergembira dengan kejayaan pasukan negeri menjuarai Piala Malaysia musim ini berpeluang melihat piala keagungan bola sepak negara itu dengan lebih dekat apabila ia diarak di seluruh negeri bermula di sini petang esok.

Dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu lepas, Negeri Sembilan menewaskan Kelantan 3-1.

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim berkata pemain skuad negeri akan diarak bersama piala itu menggunakan bas tanpa bumbung di seluruh bandar ini mulai 3 petang, bermula dari Dataran Senawang menuju Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Ampangan, Sikamat, Rasah Jaya dan berakhir di City Park Seremban 2.

Beliau berkata majlis sambutan besarbesaran meraikan kejayaan itu akan berlangsung di padang Majlis Perbandaran Seremban pada malamnya.

"Ini adalah sambutan peringkat negeri yang dianjurkan oleh kerajaan negeri. Selain pertunjukan bunga api, program itu akan melibatkan persembahan hiburan dan pelbagai aktiviti menarik," kata Ismail yang juga anggota exco kerajaan negeri.

Pada Ahad pula, perarakan serupa akan diadakan di Rembau, diikuti 16 November di Kuala Pilah, 17 November di Tampin, 18 November di Jelebu, 19 November di Jempol dan 20 November di Port Dickson. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan