suria

FAM denda KAFA RM50,000

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mendenda Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) sebanyak RM50,000 gara-gara tindakan liar penyokong Kelantan pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu lepas.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM Datuk Mohd Taufik Abd Razak berkata badan induk bola sepak Kelantan itu didapati bersalah terhadap tiga tuduhan yang dibentangkan.

Bagi tuduhan pertama, penyokong-penyokong Kelantan didakwa membaling bunga api dan objek ke arah dan masuk ke dalam padang yang menyebabkan KAFA didenda RM5,000.

"KAFA juga didenda RM20,000 untuk tuduhan kedua kerana penyokong-penyokongnya membaling objek terkena pegawai perlawanan manakala tuduhan ketiga adalah merosakkan harta benda Stadium Nasional di Bukit Jalil seperti kerusi dan pintu pagar sekaligus didenda RM25,000," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat yang berlangsung selama tiga jam di Wisma FAM semalam.

Mohd Taufik berkata denda-denda yang dikenakan itu adalah jumlah yang paling minimum setelah mengambil kira pelbagai faktor dan KAFA boleh mengemukakan rayuan dalam masa 14 hari.

Pada mesyuarat itu, KAFA diwakili Presidennya Tan Sri Annuar Musa dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kelantan, Azman Ibrahim.

Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad berkata anggaran kerosakan yang terpaksa dibayar oleh badan induk bola sepak kebangsaan itu kepada pihak Stadium Nasional adalah RM138,150.

"Jumlah ini adalah yang terbaru dikemukakan oleh pihak stadium setelah dipanggil memberikan butiran kerosakan pada mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib petang ini.

"Jadi jika terdapat jumlah lain daripada ini (RM138,150), saya tidak dapat menjawabnya," katanya.

Antara kerosakan yang dilaporkan ialah 16 unit kerusi terbakar (dianggarkan RM2,400), 205 unit kerusi rosak (dianggarkan RM30,750), trek terbakar (dianggarkan RM60,000) dan RM20,000 yang dianggarkan bagi kerosakan tandas stadium.

Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek dilaporkan berkata kerosakan yang dialami Stadium Nasional akibat tindakan liar penyokong-penyokong Kelantan semasa perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia Sabtu lepas bernilai RM214,000.

Azzuddin berkata bayaran kerosakan ini bukanlah merupakan yang pertama dan baru bagi FAM kerana bertindak selaku penganjur pada perlawanan akhir itu.

"Memang terdapat syarat dalam kontrak, sebarang kerosakan adalah ditanggung oleh penyewa (FAM)," katanya.

Perlawanan akhir itu disaksikan kira-kira 85,000 orang di mana 80 peratus daripadanya merupakan penyokong skuad Kelantan yang tewas 1-3 kepada Negeri Sembilan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain