suria

Tugas 'mudah' Malaysia pada kelayakan Piala AFC

KUALA LUMPUR: Skuad futsal kebangsaan dijangka tidak menghadapi masalah untuk layak ke pusingan akhir Piala Konfederasi Bola sepak Asia (AFC) di Uzbekistan pada Mei tahun depan selepas undian pusingan kelayakan dijalankan baru-baru ini.

Menurut laman web Konfederasi Bola sepak Asia (AFC), Malaysia yang diletakkan di dalam zon Asean berada di dalam kumpulan B bersamasama Vietnam, Kemboja dan Filipina manakala kumpulan A akan menampilkan Australia, Indonesia, Brunei dan Myanmar.

Dua pasukan terbaik setiap kumpulan (A dan B) akan layak ke peringkat separuh akhir di peringkat zon (Asean) untuk menentukan tiga pasukan terbaik yang layak ke saingan pusingan akhir.

Vietnam dilihat pencabar utama kepada skuad kebangsaan di dalam kumpulan B berdasarkan kemampuan mereka muncul naib juara di Kejohanan Futsal Persekutuan Bola sepak Asean (AFF) di Ho Chi Minh City pada Jun lepas.

Manakala Filipina dan Kemboja masih agak ketinggalan berbanding Malaysia jika keputusan Piala AFF dijadikan sebagai ukuran.

Indonesia akan menjadi tuan rumah kepada perlawanan keduadua kumpulan yang akan berlangsung di Stadium Tennis Jakarta dari 13 hingga 18 Februari tahun depan.

Sejak mula menyertai Piala AFC pada 1999, skuad kebangsaan hanya layak di peringkat kumpulan (pusingan pertama) sahaja kecuali pada 2005 di Vietnam apabila layak ke pusingan kedua untuk menduduki tempat ke 12 daripada 24 pasukan bertanding.

Skuad kebangsaan yang dibimbing P.Balakrishnan kini di dalam persiapan untuk menyertai Sukan Dalam Dewan Asia ketiga di Hanoi, Vietnam yang berlangsung selama 10 hari bermula 30 Okt ini.

Selain tiga tiket dari zon Asean, 18 pasukan lain turut bersaing untuk merebut sembilan lagi slot ke pusingan akhir di Uzbekistan mengikut zon masingmasing.

Manakala empat pasukan iaitu Iran (juara), Thailand (naib juara), Jepun (juara 2006) dan tuan rumah Uzbekistan layak secara automatik. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain