Sukan Sea: ISN awasi wabak H1N1 di Laos - Sukan | mStar

Sukan Sea: ISN awasi wabak H1N1 di Laos

Diterbitkan: Rabu, 2 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Institut Sukan Negara (ISN) akan ke Laos, tuan rumah Sukan SEA tahun ini, bagi meninjau kemudahan perubatan di hospital dan pusat perubatan negara itu sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan penularan wabak influenza A (H1N1) semasa kejohanan itu Disember ini.

Ketua Pengarah ISN Datuk Dr Ramlan Abd Aziz berkata institut itu sedar mengenai risiko berlakunya wabak selesema babi ketika temasya itu berlangsung, dan akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"ISN akan menghantar Unit Perubatan dan Sokongan Sains Sukan ke Laos dalam masa terdekat untuk mengenalpasti kemudahan perubatan yang disediakan tuan rumah semasa Sukan SEA," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dr Ramlan yang juga Chef DeMission Malaysia ke Sukan SEA di Laos sebelum itu memberikan taklimat kepada para pengurus pasukan Malaysia ke temasya tersebut yang akan berlangsung pada 9 hingga 18 Disember ini.

Beliau berkata pasukan ISN itu juga akan memantau tahap kebersihan di tempattempat pertandingan serta kemudahan yang lain.

Anggota kontinjen Malaysia juga akan diberikan suntikan antiviral bagi mencegah mereka daripada selesema sekiranya wabak tersebut terus merebak pada masa temasya tersebut berlangsung, katanya.

Beliau berkata kontinjen Malaysia juga akan menjalani pemeriksaan kesihatan dan kecergasan biasa termasuk ujian "antidoping" sebelum dibenarkan menyertai temasya di Laos. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan