suria

“Pelawak hatinya lebih sensitif, mudah bawa watak emosi” - Zizan Razak tidak mahu dikenali sekadar artis komedi

Zizan tahu masih ada pihak yang mempertikaikan dirinya tidak mampu untuk membawa watak berat.

PELAKON Zizan Razak meminta masyarakat mengubah tanggapan mengenai seseorang pelawak tidak mampu melakonkan watak serius.

Menurut Zizan, 35, pengarah dan penerbit membuat kesilapan sekiranya tidak memberi peluang dan ruang kepada pelawak untuk menampilkan sisi berbeza mereka dalam lakonan.

ARTIKEL BERKAITAN: Zizan Razak ulas hubungan dengan Bella Astillah - “Kalau bercinta sudah tentu saya tak tayang wanita itu”

"Saya ada masalah dengan mentaliti orang kita yang melihat pelawak tidak boleh berlakon serius sedangkan ada saja artis komedi luar negara yang melakonkan watak tersebut dengan baik.

Zizan berharap masyarakat dapat mengubah tanggapan pelawak tidak boleh berlakon serius.

"Bila pelawak, suruh melawak saja. Ikutkan pelawak ini hati sensitif, jadi lagi memahami bila diberikan watak yang perlu bermain dengan emosi.

"Satu kesilapan kalau pelawak tidak diberikan peluang dan ruang. Mentaliti masyarakat kita perlu diubah," katanya kepada mStar.

Zizan ditemui ketika majlis doa selamat dan sidang media telefilem Kerusi Kecil di SkyArena, Setapak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Telefilem arahan Ghaz Abu Bakar itu akan menjalani penggambaran di Pulau Perhentian dan sekitar Terengganu bermula awal September ini.

Memang sebelum ini saya ada membawa watak serius tetapi masih ada lagi orang yang mempertikaikan. 

Zizan Razak

Pelawak

Dalam pada itu, pelakon Polis Evo 2 ini mengakui masih ada lagi pihak yang mempertikaikan kredibilitinya untuk melakonkan watak berat.

"Memang sebelum ini saya ada membawa watak serius tetapi saya tahu masih ada lagi orang yang mempertikaikan. Cuba buka minda anda.

"Sebagai contoh Sabri Yunus dan Jalil Hamid pelawak tapi mereka hebat melakonkan watak beremosi. Sebab mereka diberi peluang dan dapat lakukan yang terbaik.

"Saya lebih suka orang mengenali saya sebagai seorang pelakon yang baik, bukan sekadar artis komedi," ujarnya.

Zizan Razak, Sabri Yunus, Jalil Hamid

Artikel Lain