suria

Dakwaan Lotte Chemical Rugi Besar Tidak Benar

JOHOR: Kerajaan negeri hari ini menyangkal dakwaan kilang Lotte Chemical Titan Holding Bhd (LCT)  mengalami kerugian besar akibat gangguan bekalan  air di Pasir Gudang, April lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri Datuk Ir Hasni Mohammad berkata dakwaan laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada awal bulan ini itu adalah sama sekali tidak benar, sekali gus memberi gambaran tidak tepat berhubung isu dibangkitkan.

Beliau juga berkata kerajaan negeri bimbang perkembangan tersebut akan memberi kesan negatif terhadap usaha menarik pelabur dan dalam menyediakan persekitaran mesra pelabur di Johor.

Pada masa sama, ia memberi persepsi negatif kepada rakyat, kata beliau dalam kenyataan di sini.  

Isu itu berbangkit kerana SAJ Ranhill Sdn Bhd selaku syarikat pembekalan air bersepadu di  negeri  ini, terpaksa menutup Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Layang, di Pasir  Gudang tanpa dirancang pada 6 pagi, 10 April lepas.

Hasni berkata, penutupan dilakukan kerana loji bermasalah dan kerja-kerja pembaikan telah dimulakan segera sebelum LRA Sungai Layang berjaya dioperasikan semula pada 12.45 pagi, 11 April <span lepas.

"Operasi pembekalan air ke LCT juga disalurkan pada 6 pagi hari sama. Dengan itu, gangguan bekalan air yang tidak dirancang kepada kawasan terlibat termasuk LCT hanya mengambil masa selama 36 jam dan bukan antara tempoh dua hari  dan 11 hari pada April 2017 seperti dilaporkan," katanya.

Beliau berkata, dengan penjelasan tersebut, kerajaan negeri berharap pihak LCT memahami situasi yang sebenarnya dan dapat memperbetulkan kenyataan yang dibuat sebelum ini kepada pihak media.

LCT dalam laporan bertarikh 1 dan 2 Ogos, baru-baru ini, dipetik sebagai berkata ia terpaksa menutup operasi antara dua dan 11 hari pada April berikutan gangguan bekalan air yang tidak dirancang di lojinya yang berpangkalan di Pasir Gudang di sini.

Penutupan itu juga menyaksikan penurunan sebanyak 75 kilo tan dalam jumlah pengeluaran petrokimia LCT.  

Artikel Lain