Coca-Cola Malaysia Labur RM500 Juta Di Nilai

Diterbitkan: Isnin, 13 Mac 2017 5:34 PM

(Ubah saiz teks)

NILAI: Coca-cola Malaysia akan melabur sebanyak RM500 juta untuk mengembangkan saiz dan kapasiti pengeluaran kilangnya di Bandar Enstek, dekat sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bottling Investment Group Singapura-Malaysia-Brunei, Stephen Lusk berkata pembinaan kemudahan seluas 4.047 hektar bersebelahan kilang sedia ada sekarang yang seluas 12.545 hektar dijangka bermula pada suku pertama tahun ini dan akan beroperasi sepenuhnya pada 2020. 

"Apabila siap kelak, Coca-cola Malaysia akan mempunyai 1,000 kakitangan langsung, di samping mewujudkan 10,000 lagi pekerjaan tidak langsung dalam syarikat yang menyokong rantaian bekalan perniagaan," katanya menurut Bernama.

Beliau berkata demikian pada upacara pecah tanah pengembangan kilang itu hari ini yang dirasmikan oleh Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz. 

Coca-cola telah melabur sebanyak RM1 bilion di Malaysia sejak 2010, mewujudkan lebih 800 pekerjaan dan lebih 75,000 pelanggan secara langsung dengan jumlah capaian lebih 200,000 pelanggan di seluruh negara.

Kilangnya di Bandar Enstek berfungsi sebagai hab pengeluaran halal bagi pasaran Malaysia, Singapura dan Brunei, menghasilkan minuman di bawah jenama Coca-Cola, Fanta, Sprite, A and W, Schweppes, Glaceau, Heaven and Earth, Minute Maid Pulpy dan Dasani. 

Lusk berkata pelaburan tambahan oleh syarikat itu merupakan bukti keyakinannya terhadap ekonomi Malaysia. 

Fasa pertama pengembangan kilang itu dijangka siap pada akhir tahun dan akan menempatkan rumah gudang berautomasi canggih dengan Simpanan Berautomasi dan Sistem Dapatan Semula, serta barisan pengeluaran tambahan dari semasa ke semasa, ketika syarikat itu berkembang ke kategori minuman berbeza. 

Lusk berkata dengan pengembangan baharu itu, ia akan menyediakan keupayaan kepada syarikat untuk menambah barisan pengeluaran dan meningkatkan eksport ke negara Asia Tenggara lain selain Malaysia, Brunei dan Singapura.

Ditanya sama ada syarikat itu akan menaikkan harga produk berikutan kenaikan harga gula baru-baru ini, beliau berkata akan ada kenaikan kecil yang mana telahpun diambil kira oleh pasaran.

Tags / Kata Kunci: Coca-Cola Malaysia

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan