suria

Kerajaan Netherlands Iktiraf Skim Pensijilan Kayu Malaysia

KUALA LUMPUR: Netherlands mengiktiraf Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) di bawah dasar pemerolehan awamnya bagi perkayuan lestari susulan perbahasan Parlimen pada 18 Jan, 2017.

Menurut kenyataan Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) hari ini, pengiktirafan itu akan membolehkan syarikat berasaskan kayu Malaysia mendapat akses lebih baik ke pasaran Netherlands.

Pengerusi MTCC, Datuk Himmat Singh berkata penerimaan itu menandakan pencapaian besar bagi MTCS.

"Pengiktirafan itu melakar pencapaian besar bagi MTCS dan akan menggalakkan lagi pelaksanaan pengurusan kelestarian hutan tropika di peringkat global dan merangsang peningkatan bagi kegunaan dan penggunaan kayu tropika yang disahkan," katanya.

Beliau berkata Netherland menjadi negara terbaru yang mengiktiraf sepenuhnya MTCS dalam dasar pemerolehan awamnya, seiring dengan negara lain, termasuk United Kingdom, Jerman, Switzerland dan Jepun.

Keputusan berkenaan menandakan pencapaian cemerlang bagi MTCS dan ia juga merupakan satu perakuan penting kepada komitmen dan usaha berterusan Malaysia dalam mempromosikan perhutanan dan industri kayu lestari melalui skim pensijilan kayu, katanya.

Pasaran Netherlands ketika ini menyumbang kira-kira 30 peratus daripada eksport keseluruhan Program Bagi Perakuan Pensijilan Hutan (PEFC)/MTCS - produk kayu yang disahkan dari Malaysia - bernilai RM202 juta pada 2015.

Artikel Lain