KTMB Tingkat Kualiti Tandingi Pengangkutan Awam Lain - Niaga | mStar

KTMB Tingkat Kualiti Tandingi Pengangkutan Awam Lain

Diterbitkan: Rabu, 21 Disember 2016 3:21 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan meningkatkan kualiti perkhidmatannya seiring peredaran semasa dan setanding dengan pengangkutan awam lain terutamanya di sekitar Lembah Klang.

Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Datuk Ir Nawawi Ahmad berkata keutamaan KTMB kini adalah meningkatkan kepantasan dan kekerapan perkhidmatan tren terutama pada waktu puncak.

"Orang ramai kini sudah mempunyai pilihan perkhidmatan yang mereka mahu, ini merupakan persaingan yang sihat dan motivasi kepada kami untuk memperbaiki mutu perkhidmatan," katanya kepada pemberita selepas majlis Perasmian Maskot keretapi elektrik (ETS) 'Captain EJ' di sini, Rabu.

Menurut Nawawi, KTMB telah menghadapi kekurangan kira-kira 15,000 pengguna setiap hari selepas pengenalan Projek Penyambungan Jajaran bagi perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) pada Jun lalu.

Katanya pengurangan jumlah pengguna itu disebabkan oleh pertembunan laluan di mana jajaran baharu berkenaan melalui laluan sama dengan khidmat KTMB.

"Laluan sama seperti di stesen Subang Jaya dan Kelana Jaya. Sebelum projek penyambungan jajaran tersebut kita mempunyai 140,000 pengguna komuter dalam satu hari, namun kini kita hanya mempunyai 125,000 pengguna setiap hari," katanya.

Pembukaan penuh Projek Penyambungan Jajaran LRT Jun lepas melibatkan tambahan jajaran sepanjang 35.1 km menghubungkan kedua-dua laluan LRT Kelana Jaya dan Ampang/Sri Petaling.

Sementara itu, Nawawi berkata sebagai tanda penghargaan kepada penumpang KTMB, pihak pengurusan bersetuju memberikan diskaun 50 peratus bagi tiket konsesi warga emas, pesara kerajaan dan pesara tentera.

Katanya kadar diskaun berkenaan akan berkuat kuasa mulai 15 Januar 2017 untuk pembelian tiket di kaunter atau secara online bagi semua perkhidmatan ETS dan Intercity.

"Selain itu, kita juga bersetuju bagi memansuhkan caj pentadbiran RM2 bagi transaksi secara online," katanya. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: KTMB
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan