suria

Firma HK Labur RM1 Bilion Dalam Industri Pelancongan Malaysia

Pengerusi Kumpulan Evergreen Davy Chan, CEO Evergreen, Eric Chu, CEO Kumpulan AFV Consultants, Louis Loh dan Pengarah Evergreen Offshore Inc, Danni Wong pada sesi taklimat Obor, Jumaat.

KUALA LUMPUR: Firma ekuiti persendirian berpejabat di Hong Kong, Evergreen Offshore Inc akan melabur RM1 bilion dalam sektor pelancongan Malaysia bagi tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Ia adalah sebahagian peruntukan RM5 bilion Dana Industri Pelancongan inisiatif Satu Jajaran, Satu Laluan Asia Pasifik (Obor) syarikat berkenaan.

Pengerusi Evergreen, Davy Chan berkata keputusan melabur Malaysia itu didorong kepesatan pertumbuhan industri pelancongannya serta rancangan kerajaan untuk meningkatkan pelaburan sektor berkenaan.

Pelaburan itu akan diuruskan oleh unit Evergreen, Ever Centurion Ltd manakala AFV Consultants Group Sdn Bhd pula dilantik sebagai rakan strategik eksklusif syarikat itu.

"AFV Consultants Group bertanggungjawab mengendalikan penilaian projek dan proses berkaitan," katanya pada sesi taklimat media mengenai Dana Industri Pelancongan Obor yang dilancarkan di sini, Jumaat.

Inisiatif Obor yang merupakan strategi kerangka pembangunan dicadangkan oleh Presiden China Xi Jinping, menumpukan aspek kesalinghubungan dan kerjasama antara negara-negara, khususnya China dan kawasan Eurasia.

Mengulas bentuk pelaburan Evergreen itu, Chan berkata ia menyasarkan projek berkualiti yang berpotensi untuk menjadi tarikan pelancong.

"Ia tidak hanya membabitkan hotel atau taman tema, tetapi juga pelaburan dalam infrastruktur dan pengangkutan yang dapat menggalakkan pertumbuhan sektor pelancongan.

"Malaysia terletak secara strategik di bahagian selatan. Menerusi kerjasama dengan Hong Kong dan China, Malaysia mampu mendapat kekuatan dari segi kewangan, sekaligus mengukuhkan asas dan infrastruktur sedia ada.

"Ini akan merancakkan lagi produktiviti serta menarik lebih banyak pelaburan," katanya.

Chan berkata, Evergreen juga kini dalam proses perbincangan dengan pemilik projek berpotensi yang terbabit dalam usaha pembangunan pelancongan.

Beliau bagaimanapun, enggan mendedahkan identiti mereka.

Industri pelancongan Malaysia dijangka bernilai RM262.2 bilion atau 15.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2025 berbanding RM61 bilion  pada 2015. 

Kedatangan pelancong ke Malaysia pula meningkat 3.7 peratus pada separuh pertama tahun ini manakala perbelanjaan pelancong pula bertambah sebanyak 10.7 peratus. -- Bernama

Artikel Lain