Bank Muamalat Sasar Jual Muamalat Gold-i Bernilai RM56 Juta

Diterbitkan: Selasa, 12 April 2016 8:57 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bank Muamalat Malaysia Bhd menyasar menjual 320 kilogram (kg) Muamalat Gold-i (MGi) bernilai kira-kira RM56 juta bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac, 2017.

Ketua Pegawai Operasinya (Perniagaan), Mashitah Osman berkata, MGi merupakan inisiatif terbaharu bank itu untuk meningkatkan segmen pengurusan hartanya yang termasuk Takaful, pelaburan dan penulisan wasiat.

"MGi adalah instrumen pelaburan alternatif bagi pengedaran patuh syariah jongkong emas fizikal kepada orang awam yang tersedia dengan berat lima, 10, 20, 50 dan 100 gram.

"Tanpa sebarang publisiti, ia terjual lebih 80 kilogram bernilai RM14 juta sejak dibuka kepada orang ramai dua bulan setengah lalu," katanya kepada pemberita pada pelancaran MGi di sini, Selasa.

Sementara itu, Naib Presiden/Ketua Jabatan Pengurusan Harta Bank Muamalat, Nur Ain Ramli berkata bank itu menjangka perniagaan emas menyumbang kira-kira 60 peratus daripada jumlah pendapatan fi bagi segmen pengurusan harta bagi Tahun Kewangan 2017. 

Beliau berkata sejak 1 Januari, 2016, jualan emas telahpun menyumbang 40 peratus daripada pendapatan fi.

"Permintaan adalah kukuh. Dalam tempoh tiga tahun akan datang, ia disasar menyumbang kira-kira 10 hingga 20 peratus kepada jumlah hasil fi bank. 

"Kami agak berbeza berbanding bank-bank lain dari segi proses pembelian emas kerana kami akan memastikan emas fizikal tersedia semasa urus niaga dan bukannya menyerahkan emas kertas kepada pelanggan," kata Nur Ain.

Beliau berkata oleh kerana pulangan bagi MGi tertakluk kepada turun naik harga emas, pelanggan dinasihatkan untuk mempelbagaikan pelaburan mereka dalam keadaan ekonomi sekarang dan menimbang memilih emas sebagai instrumen pelaburan jangka panjang mereka. 

"Pelanggan juga boleh memilih menjual emas pada bila-bila masa berdasarkan kepada harga terkini harian tetapi bagi memudahkan urus niaga, mereka perlu terlebih dahulu membuka akaun semasa atau simpanan dengan bank ini. 

"Tiada had bahawa ia mesti dijual hanya di Bank Muamalat. Mereka juga boleh menjual emas itu pada mana-mana peniaga barang kemas atau meletakkannya di cawangan ArRahnu bagi mendapatkan tunai," katanya.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Muamalat Gold-i , Mashitah Osman

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan