suria

Malaysia Airlines Dijangka Mula Catat Keuntungan Mulai 2018

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Berhad (MAB) dijangka mula mencatatkan keuntungan menjelang 2018, berdasarkan komitmen dan fokusnya ke atas pelbagai inisiatif yang dilaksanakan di bawah Pelan Pemulihan MAS (PPM).

Kementerian Kewangan dalam satu jawapan bertulis yang diedarkan di persidangan Dewan Rakyat hari ini berkata, MAB juga telah berjaya mencatatkan prestasi 'on time performance' (OTP) iaitu ketepatan waktu pelepasan dan ketibaan pesawat pada kadar 95 peratus bagi semua penerbangan domestiknya.

"Sejak beroperasi mulai 1 September 2015, MAB telah mencatatkan kemajuan yang positif selaras dengan hasrat PPM dan MAB akan terus memberi tumpuan kepada inisiatif-inisiatif untuk memulihkan syarikat," kata kementerian itu.

Antara inisiatif yang dilaksanakan bagi mengurangkan kos operasi syarikat ialah menghentikan laluan yang tidak menguntungkan serta mengadakan kerjasama strategik dengan Emirates Airlines melalui perkongsian kod, yang menyediakan akses laluan lebih luas kepada lebih 30 negara termasuk di benua Amerika Utara dan Amerika Selatan serta Afrika.

Strategi lain yang dilaksanakan ialah menawarkan tempat duduk mendatar sepenuhnya bagi Kelas Perniagaan untuk pesawat A330-300.

"Kesemua 15 pesawat jenis ini akan mula dilengkapi konfigurasi baru dan dijangka lengkap sepenuhnya pada Ogos ini," kata Kementerian Kewangan.

PPM memberi tumpuan kepada 12 bidang utama yang meliputi proses Tadbir dan Rangka Kerja Kewangan, Model Operasi Perniagaan, Kepimpinan, Modal Insan dan Pengawalseliaan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain