suria

Kehadiran Syarikat Negara TPP Bukan Bermakna Malaysia Dijajah - Mustapa

KUALA LUMPUR: Kehadiran syarikat dari negara-negara Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) di Malaysia tidak bermakna negara akan dijajah semula, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, hakikatnya, syarikat-syarikat berkenaan sudahpun beroperasi di Malaysia kerana kerajaan sentiasa menggalakkan pelaburan asing.

"Ramai profesional dan rakyat Malaysia sedang bekerja dalam pelbagai sektor di luar negara termasuklah negara TPP seperti Australia, New Zealand, Singapura dan Brunei.

"Jika kehadiran syarikat dan profesional Malaysia di luar negara tidak bermakna kita menjajah negara-negara tersebut, maka kehadiran mereka di sini tidak semestinya bermakna kita akan dijajah semula," katanya dalam kenyataan, di sini, Jumaat.

Menurut Mustapa, masyarakat harus menyedari realiti bahawa pasaran Malaysia adalah terhad dan syarikat serta profesional Malaysia telah lama meneroka peluang di luar negara.

Sehingga Jun 2015, pelaburan Malaysia di luar negara bernilai kira-kira RM522 bilion, melebihi pelaburan asing di dalam negara yang bernilai RM477 bilion, katanya.

Menurutnya lagi penyertaan Malaysia dalam TPP tidak bermakna negara akan menerima sistem ekonomi kapitalis secara total.

Penyertaan dalam TPP juga tidak bermakna bahawa insititusi-institusi bumiputera seperti Mara dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) akan terpinggir, katanya.

"Sebaliknya, Malaysia akan terus menjayakan model pembangunannya sendiri yang memberi tumpuan terhadap pertumbuhan ekonomi yang inklusif," kata beliau.

Mengenai dominasi Amerika Syarikat, Mustapa berkata Malaysia menjalin hubungan perdagangan dengan lebih 200 negara di seluruh dunia, dan Amerika Syarikat merupakan rakan perdagangan keempat terbesar Malaysia.

Kerajaan berpendapat, secara keseluruhannya perjanjian TPP mewujudkan situasi menang-menang bagi setiap negara yang terlibat.

"Kita berpeluang untuk memasarkan produk seperti tekstil, elektronik, produk sawit dan beberapa barangan lain pada harga yang lebih kompetitif ke pasaran TPP termasuklah Amerika Syarikat yang merupakan pasaran pengguna terbesar di dunia," katanya.

Sementara itu, Mustapa berkata penyertaan Malaysia dalam TPP tidak akan sama sekali menjejaskan hubungan ekonomi antara Malaysia dan China.

Malaysia merupakan penyokong kuat inisiatif ekonomi One Belt, One Road yang diterajui oleh China, katanya.

Selain itu Malaysia bersama negara-negara Asean lain juga sedang merundingkan Perjanjian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) yang melibatkan 16 negara termasuk China, kata Mustapa.

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka, kerajaan berpendapat faedah penyertaan dalam TPP adalah lebih banyak daripada keburukan, katanya.-- Bernama

Mustapa Mohamed, TPPA

Artikel Berikut

Artikel Lain