suria

Canon Unjur Jualan Pencetak Berkembang Lima Peratus

PORT DICKSON: Canon Marketing (Malaysia) (CMM) Sdn Bhd mengunjurkan jualan segmen pencetaknya berkembang lima peratus setiap tahun meskipun sasaran jualan keseluruhan rendah tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Wataru Nishioka, berkata syarikat itu menyemak semula sasaran tahunan bagi tahun ini kepada RM630 juta daripada RM660 juta pada setahun lepas.

"Sasaran jualan keseluruhan diunjur akan menjadi empat peratus, berkurangan, berbanding tahun lepas susulan jualan segmen kamera menyusut 18 peratus.

"Bagaimanapun, penyumbang utama CMM adalah dari penguasaan pasaran pencetak semburan dakwat Canon di Malaysia sebanyak 51 peratus dan pencetak laser sebanyak 34 peratus," katanya kepada pemberita semasa pelancaran lapan pencetak semburan dakwat dan pencetak laser Canon di sini.

Mengenai penyusutan dalam segmen kamera, Nishioka berkata syarikat bercadang  mempergiatkan promosi melalui laman webnya dan meneroka peluang dalam platform jualan silang untuk mengurangkan prestasi penurunan jualan.

Penolong Pengarah Bahagian Barangan Sistem Pengguna, Jeffrey Kung berkata syarikat itu berhasrat mencapai 30 peratus penguasaan pasaran bagi pencetak siri G cekap dakwat PIXMA yang baru dilancar dalam tempoh tiga bulan.

"Kami gembira dengan pertumbuhan jumlah pencetakan seluruh dunia, segmen pencetak masih relevan kepada pasaran, terutama dalam sektor korporat dan kerajaan, meskipun dengan kempen tanpa kertas, masih terdapat permintaan bagi dokumen bercetak.

"Kami akan giat berusaha untuk mencapai sasaran dan mengekalkan kedudukan peneraju dalam segmen pencetak semburan dakwat di peringkat domestik," katanya.

Mengenai kesan ketidaktentuan ringgit, Nishioka berkata tukaran mata wang asing menjejaskan kos pengeluaran yang meningkat antara 30 peratus dan 40 peratus.

"Tiada syarikat atau pembuat akan menyerap perbezaan berkenaan oleh itu, kami terpaksa menaikkan harga," katanya.

CMM pada Rabu melancarkan pencetak siri G cekap dakwat PIXMA yang dilengkapi dengan teknologi sistem bekas dakwat isian semula generasi masa depan.

Tiga model yang diperkenalkan adalah PIXMA G1000 (fungsi tunggal), G2000 (pelbagai fungsi) dan G3000 (pelbagai fungsi tanpa wayar), menawarkan jumlah yang tinggi pada kos pengendalian yang rendah tanpa menjejaskan kualiti dokumen dan foto dicetak.

Canon

Artikel Berikut

Artikel Lain