suria

Bursa Malaysia Komited Ke Atas Inisiatif SSE

Tajuddin Atan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Bhd menandatangani komitmen sukarela Bursa Saham Mampan (SSE) bagi mempromosi prestasi pasaran modal yang mampan dan telus.

Sokongan ke atas inisiatif mampan SSE memperkukuh komitmen bursa saham negara untuk kekal sebagai pasaran yang paling kompetitif di dunia dengan menyepadukan amalan terbaik global dalam pasaran tempatan, kata Bursa Malaysia dalam satu kenyataan, Selasa.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Tajuddin Atan berkata, Bursa Malaysia bangga menyertai bursa saham lain di dunia sebagai rakan bursa pada platform SSE.

"Ini berintegrasi dengan baik dengan agenda dan komitmen sedia ada kami bagi meningkatkan usaha mempromosi amalan mampan dalam pasaran," katanya pada Dialog Serantau SSE bagi Asia Tenggara di Bangkok, Selasa.

Beliau berkata, pembabitan Bursa Malaysia sebagai Rakan Bursa SSE juga melengkapkan usaha berterusan dalam menggalakkan amalan kemampanan yang meliputi pelaporan mandatori, terbitan panduan, nasihat serta latihan.

"Kami menunggu untuk melibatkan diri dalam inisiatif SSE sebagai forum global bagi perkongsian amalan terbaik mengenai pasaran modal dan kemampanan.

"Dengan menyertai SSE, Bursa Malaysia boleh memanfaatkan platform global ini secara lebih aktif bersama rakan bursa yang lain, pelabur, pengawal atur, pembuat dasar bagi merencanakan agensi kemampanan bagi pasaran modal menerusi perkongsian amalan terbaik dan pembelajaran yang diperoleh dalam menggalakkan kemampanan pasaran," katanya.-- Bernama

Bursa Malaysia, SSE, Tajuddin Atan

Artikel Lain