suria

TDM Raih Pendapatan RM386.1 Juta Bagi 2014

KUALA TERENGGANU: TDM Berhad (Kumpulan TDM) mencatatkan rekod hasil pendapatan sebanyak RM386.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2014 berbanding RM370.7 juta pada tahun sebelumnya.

Pengerusinya, Lt Jeneral (B) Tan Sri Wan Abu Bakar Wan Omar berkata, walaupun berdepan harga minyak sawit mentah rendah serta pengeluaran yang berkurangan pada tahun lepas, TDM Berhad masih mampu meraih peningkatan hasil sebanyak empat peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Kutipan hasil lebih tinggi telah meningkatkan keuntungan sebelum cukai kumpulan kepada RM68.4 juta bagi tahun kewangan 2014 daripada RM67.1 juta pada tahun sebelumnya iaitu peningkatan sebanyak dua peratus," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kali ke-50 syarikat itu, di sini, Khamis. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Badrul Hisham Mahari.

Wan Abu Bakar berkata, seiring prestasi kewangan yang lebih baik bagi tahun kewangan 2014, Kumpulan TDM telah mencadangkan dividen akhir sebanyak 1.5 sen sesaham iaitu peningkatan sebanyak 0.5 sen berbanding tahun sebelumnya.

Pembayaran dividen yang dicadangkan itu berjumlah RM22.2 juta iaitu keuntungan selepas cukai sebanyak 41 peratus berbanding 32 peratus pada 2013 berjumlah RM14.8 juta.

Beliau turut melahirkan rasa gembira berikutan prestasi Kumpulan TDM yang lebih memuaskan pada tahun lepas walaupun dalam persekitaran pasaran yang sukar.

"Kami sekali lagi menunjukkan bahawa pembangunan berterusan telah dicapai menerusi strategi yang betul untuk menjadi sebuah organisasi mampan, memberi keuntungan berterusan jangka panjang serta pulangan optimum untuk para pemegang saham," katanya.

Bagi segmen perladangan, Kumpulan TDM menumpukan aspek pengeluaran buah sawit dan minyak sawit mentah manakala bahagian operasi penjagaan kesihatannya memberi fokus kepada pengendalian hospital komuniti sekunder menerusi penyediaan penjagaan kesihatan berkualiti serta berpatutan.

Pendapatan bahagian perladangannya turut meningkat sedikit kepada RM255.83 juta daripada RM255.65 juta bagi tahun sebelumnya walaupun pengeluaran minyak sawit mentah menurun sebanyak enam peratus daripada 98.291 tan metrik pada tahun sebelumnya kepada 92.729 tan metrik pada 2014.

Beliau berkata, bahagian penjagaan kesihatan turut menunjukkan peningkatan hasil sebanyak 13 peratus kepada RM130.3 juta daripada RM115.1 juta pada tahun sebelumnya. Sumbangan itu adalah pencapaian rekod 34 peratus bagi hasil Kumpulan TDM.

"Peningkatan pendpatan itu disebabkan pelancaran kemudahan dan perkhidmatan, termasuk pembukaan hospital baharu Kuantan Madical Centre di Indera Mahkota, Pahang pada Nov 2014," katanya.-- Bernama

TDM Bhd, Wan Abu Bakar Wan Omar

Artikel Berikut

Artikel Lain