suria

PHB Intai Peluang Pelaburan Hartanah Komersil Di Setiap Negeri

MELAKA: Syarikat pegangan pelaburan hartanah, Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) mengintai lebih banyak peluang pelaburan dalam sektor hartanah komersil di setiap negeri untuk meningkatkan pemilikan hartanah dalam kalangan Bumiputera.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Kamalul Arifin Othman berkata, langkah itu merupakan visi dan pelan jangka masa panjang PHB selepas lapan tahun memberi tumpuan kepada pelaburan di kawasan Lembah Klang.

"Sudah tiba masanya, PHB mengorak langkah yang lebih luas dalam bidang hartanah untuk mencari peluang pelaburan di luar kawasan Lembah Klang dan buat permulaan, Melaka menjadi negeri pertama ke arah usaha itu melalui pembinaan The Shore Shopping Gallery.

"Kita akan terus mengenal pasti pelaburan hartanah untuk dibangunkan di Melaka dan juga negeri lain. Sekarang ini, kita sedang meneliti beberapa pelaburan yang berpotensi," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian kompleks beli-belah, The Shore Shopping Gallery di Jalan Persisiran Bunga Raya di sini, Sabtu malam.

Kompleks itu dirasmikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.

Kamalul Arifin berkata, pembukaan rasmi kompleks tersebut dengan kos RM212 juta menandakan satu lagi kejayaan PHB dalam pelaburan hartanah kompleks beli-belah selepas pembukaan Nu Sentral di Kuala Lumpur pada tahun lepas.

The Shore Shopping Gallery merupakan penambahan aset hartanah PHB yang akan disuntik ke dalam dana skim unit Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) untuk meningkatkan pemilikan hartanah dalam kalangan Bumiputera di negara ini.

"Skim AHB merupakan aspirasi kerajaan untuk memastikan Bumiputera  memiliki hartanah dan berkongsi kekayaan melalui pelaburan yang dibangunkan PHB dalam sektor hartanah," katanya.

Menurutnya, PHB akan memastikan pelaksanaan pelbagai pembangunan hartanah komersil dalam usaha membesarkan saiz dana skim AHB untuk pelabur Bumiputera.

Katanya, PHB kini memiliki pelbagai aset hartanah komersil perdana terdiri daripada bangunan pejabat, kompleks beli-belah, gudang logistik dan hospital di beberapa lokasi strategik di sekitar Lembah Klang.

Skim AHB dengan dana berjumlah RM1 bilion dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2010. Sehingga ini, jumlah saiz dana skim tersebut telah mencecah RM2 bilion. -- Bernama

PHB, Kamalul Arifin Othman

Artikel Lain