suria

Gading Kencana Sasar Miliki Kilang Panel, Sel Solar Dalam Tempoh Lima Tahun

MELAKA: Syarikat perkhidmatan dan pembekalan berkaitan tenaga boleh diperbaharui, Gading Kencana Sdn Bhd, menyasarkan untuk memiliki sebuah kilang pembuatan panel solar dan sel tenaga itu dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pengarah Urusannya, Datuk Guntor Tobing berkata kos bagi pembinaan kilang adalah sebanyak RM200 juta dan ia dijangka siap pada 2018.

Pembinaan kilang itu, katanya, sebagai memenuhi permintaan tinggi di peringkat global daripada negara termasuk Arab Saudi, Brunei Darussalam, Indonesia, Djibouti dan Kenya.

"Kilang ini berfungsi sebagai pusat pemprosesan bahan mentah bagi menghasilkan sel solar," katanya kepada pemberita ketika lawatan Lembaga  Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) di sini, Selasa.

Menurut Guntor, buat masa ini, pihaknya masih dalam proses mencari tapak  sesuai bagi pembinaan kilang itu.

Selain itu, Guntor turut berkongsi kejayaan syarikat itu memperoleh RM866,000 pada bulan lepas menerusi pelaksanaan projek ladang jana tenaga solar berkapasiti lapan megawatt yang menelan kos RM86 juta di Bandar Teknologi Hijau, di sini.

Projek yang dibangunkan sejak 4 Nov 2013 itu, mampu membekalkan tenaga elektrik berkapasiti 950,000 kilowatt sebulan kepada 1,800 rumah dan kedai.

"Tenaga yang dihasilkan di tapak seluas 6.9 hektar itu kemudiannya akan disalurkan kepada Tenaga Nasional Berhad," katanya.


Artikel Lain