suria

Pelabelan Sendiri Bagi Produk Komunikasi Bermula 1 Jun

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan melaksanakan sepenuhnya Program Pelabelan Sendiri (SLP) bagi produk komunikasi dan multimedia yang mempunyai sijil sah bermula 1 Jun ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Halim Shafie berkata, program yang dilaksana bersama Sirim QAS International itu dapat mengurangkan kos perniagaan secara signifikan bagi pemegang sijil dan prinsipal/pengeluar.

Katanya, SLP akan menggantikan program pelabelan sedia ada yang menuntut produk sah ditampal dengan label dalam bentuk pelekat yang dikawal dan dikeluarkan oleh Sirim QAS International.

"Proses sedia ada renyah, mengambil masa dan mahal. Mungkin disebabkan faktor-faktor ini banyak produk dalam pasaran tidak dilabelkan.

"Dalam tempoh dua tahun lepas, dianggar antara 30 dan 40 peratus peralatan komunikasi dilabel dengan tepat, manakala antara tiga dan 24 peratus ditampal dengan label yang salah," katanya kepada pemberita selepas pelancaran program itu, di sini, Selasa.

Halim berkata, pembekal atau prinsipal mereka boleh menjalankan pelabelan menggunakan kaedah pelabelan permukaan atau elektronik.

Beliau berkata, SKMM juga memberi tempoh tenggang bermula hari ini sehingga 31 Mei 2015 kepada semua pemegang sijil dan prinsipal/pengeluar untuk bertukar daripada label zahir kepada SLP.

Katanya SKMM melaksanakan kempen 'Check Your Label' (Semak Label Anda) bagi mendidik pengguna memeriksa produk komunikasi mereka untuk memastikan sama ada produk itu mempunyai sijil sah dan tulen.

Sementara itu, mengulas mengenai gesaan pengurangan caj perkhidmatan yang dikenakan oleh syarikat telekomunikasi, Halim berkata perkara tersebut masih dikaji.

"Kami meneliti perkara ini bersama-sama syarikat telekomunikasi dan kajian meliputi faktor kos mereka," katanya.

SKMM, SLP, Halim Shafie

Artikel Lain