suria

Jualan Maserati Meningkat 136 Peratus Tahun Lepas

Maserati Ghibli

KUALA LUMPUR: Maserati menjual kira-kira 36,500 kereta tahun lepas, peningkatan 136 peratus berbanding 2013 dan hampir enam kali ganda angka jualan bagi 2012.

Pengarah Urusan Pasaran Antarabangsa Global Maserati, Umberto Cini berkata, di rantau Asia Tenggara dan Pasifik (SEAP) sahaja ia mencatatkan peningkatan jualan 252 peratus tahun lepas, dipacu oleh pelancaran model baharu Ghibli dan model utama jenama Quattroporte.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, Naza Italia Sdn Bhd, pengedar bagi kereta Maserati di Malaysia, berkata model Ghibli sahaja mencatatkan jualan runcit melebihi 60 peratus di rantau ini.

Cini berkata, pelancaran Quattroporte dan Ghibli membolehkan jenama itu berkembang secara signifikan berbanding hanya lebih 6,000 unit kenderaan setahun di seluruh dunia beberapa tahun lalu.

"Peningkatan dalam jualan Maserati dan kemudahan perkhidmatan di SEAP termasuk pembukaan bilik pameran baharu serta pengubahsuaian bilik pameran Naza Italia di Kuala Lumpur yang akan siap dan dilancarkan semula tahun ini, akan terus memperkukuh jenama ini," katanya.

Beliau berkata, Maserati menyasarkan untuk menjual 75,000 kereta setahun menjelang 2018 disokong dengan pelancaran Levante, kenderaan utiliti sukan mewah pertamanya yang dijangka tahun depan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain