Pensonic Teroka Produk Gaya Hidup Baharu

Diterbitkan: Rabu, 26 November 2014 5:38 PM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Syarikat perkakas elektrik tempatan, Pensonic Holdings Bhd meneroka bidang pertumbuhan baharu produk gaya hidup iaitu Internet of Things (IoT), peranti teknologi yang berhubung Internet dan sesuai dipakai.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Dixon Chew berkata syarikat itu dijangka memperkenalkan produk pertama telefon pintar dihubung bluetooth dalam suku pertama tahun depan bagi memanfaatkan peningkatan pasaran perkakas bersambungan Internet.

"Kami akan terus berinovasi untuk menghadapi cabaran dengan melibatkan diri dalam perkakas teknologi baharu termasuk IoT, teknologi boleh dipakai dan peranti pintar," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan Pensonic, di sini, Rabu.

Chew berkata Pensonic ketika ini sedang berbincang dengan beberapa syarikat di Amerika Syarikat susulan lawatan tiga hari syarikat itu ke Silicon Valley yang menyertai misi perdagangan diketuai oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) baru-baru ini.

"Kami sedang mengenal pasti beberapa rakan kongsi terbaik agar kami boleh bekerjasama dengan inovasi mereka, mengkomersilkan dan memperkenalkan produk ke rantau Asean," katanya sambil menambah syarikat itu juga menyasar untuk memasarkan produk tersebut ke Timur Tengah.

Chew berkata satu jenama baharu akan diperkenalkan untuk mengedarkan segmen produk baharu itu dan syarikat tersebut sedang dalam proses membangunkan beberapa produk menggunakan teknologi yang ada dalam pasaran.

Mengenai prestasi perniagaan, Chew berkata pasaran luar negara menyumbang kira-kira 30 peratus kepada hasil Pensonic manakala baki 70 peratus adalah daripada pasaran tempatan.

Bagi perniagaan pembuatan reka bentuk asli (ODM), beliau berkata Asia Tenggara dan Timur Tengah akan menjadi kawasan pertumbuhan utama bagi segmen ini.

"Asia Tenggara menjadi tumpuan susulan pelaksanaan Komuniti Ekonomi Asean tahun depan. Bahagian Asean ini akan menjadi rantau ketiga paling padat penduduk di dunia," katanya.

Chew berkata dengan kombinasi 60 peratus belia dan peningkatan penggunaan kelas pertengahan, Asia Tenggara menjadi pasaran yang perlu dimanfaatkan dan ini akan menjadi tumpuan utama bagi Pensonic.

Selain ODM, beliau berkata masih ada ruang bagi syarikat itu untuk mempromosikan jenamanya sendiri dengan tiga jenama utama iaitu Pensonic, Cornell dan jenama mewah Lebensstil Kollektion.

Tags / Kata Kunci: Pensonic

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan