suria

Hong Kong Pintu Masuk Pasarkan Produk Ke China - Konsul Jeneral

HONG KONG: Produk Malaysia yang disasarkan untuk pasaran China lebih mudah dibawa masuk melalui Hong Kong dari dieksport terus ke negara tersebut.

Konsul Jeneral Malaysia ke Hong Kong, Tengku Sirajuzzaman Mohd Ariffin berkata, cara itu dapat mengelak syarat-syarat ketat tertentu yang dilaksanakan kerajaan China.

"Syarikat-syarikat Malaysia terutama syarikat Bumiputera hendaklah berani melabur di Hong Kong supaya mudah berurusan dengan syarikat-syarikat tempatan termasuk dari tanah besar China.

"Saya syorkan cara ini kerana kerajaan China memberi peluang kepada Hong Kong berbincang dengan pihak-pihak yang ingin menjalankan perniagaan khususnya mengesksport produk mereka ke China," kata Tengku Sirajuzzaman kepada Bernama di sini, Selasa.

Beliau ditemui semasa menyambut keberangkatan tiba Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang singgah di sini dalam perjalanan pulang ke Malaysia.

Syed Faizuddin selaku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah berpangkalan di Kem Bukit Keteri, Perlis, mengetuai delegasi Pasukan Pegawai Latihan Simpanan (Palapes) tujuh universiti awam Malaysia (IPTA) membuat lawatan Kerja Akademik dan Strategik Ketenteraan ke kem tentera dan universiti di Beijing bermula 14 November hingga 17 November.

IPTA tersebut ialah Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknoloji Mara (UiTM), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tengku Sirajuzzaman berkata, usahawan Malaysia harus mengambil kesempatan itu kerana institusi kewangan Malaysia seperti Maybank, Public Bank dan CIMB telah bertapak di Hong Kong.

"Institusi perbankan ini membolehkan transaksi atau pembayaran lebih mudah selain kemampuan masyarakat Hong Kong berkomunikasi dalam bahasa Inggeris yang memudahkan komunikasi berbanding di China.

"Walaupun kos operasi di Hong Kong sangat tinggi namun berbaloi apabila produk yang disasarkan berjaya memasuki pasaran China. Mungkin usahawan ini pula tidak mampu memenuhi permintaan," katanya.

Tengku Sirajuzzaman memberi contoh produk halal dan buah-buahan tempatan seperti durian mendapat permintaan tinggi di China akan lebih mudah dieksport melalui Hong Kong.

Beliau berkata, dengan 30 juta penduduk bandar Shenzen iaitu bandar yang paling dekat dengan Hong Kong selain Hong Kong sendiri mempunyai tujuh juta penduduk, permintaan terhadap produk tersebut sangat dinantikan.

"Usahawan Bumiputera Malaysia perlu berani memasuki pasaran China. Kerajaan melalui MATRADE (Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia) dan pejabat Konsul Jeneral sentiasa bersedia membantu supaya usahawan Malaysia menyertai pameran produk yang banyak diadakan di Hong Kong.

"Di pameran ini, usahawan boleh membuat rundingan terus dengan syarikat-syarikat di China atau Hong Kong," katanya sambil menambah bahawa kos pendidikan di Hong Kong yang tiada had siling adalah bidang mencabar untuk diterokai.

Tengku Sirajuzzaman berkata, dasar kerajaan Malaysia menghantar pelajar mengambil jurusan bahasa Mandarin di China bakal membantu mempertingkat dagangan dua hala pada masa hadapan.


Artikel Lain