suria

Petronas, British Columbia Setuju Keputusan Pelaburan

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan kerajaan British Columbia bersetuju terhadap perancangan, pelan tindakan dan penyerahan bagi kedua-dua pihak untuk melaksanakan keputusan pelaburan akhir (FID) berhubung projek gas asli cecair Pacific NorthWest (PNW LNG) pada pertengahan Disember 2014.

Syarikat minyak dan gas nasional itu juga akan terus bekerjasama dengan kerajaan Kanada dan agensinya bagi proses kawal selia dan menjelaskan kerangka kerja fiskal yang dikaitkan dengan industri baharu itu di negara berkenaan.

"Pada dasarnya, kami yakin projek PNW LNG berupaya menjanakan wang, menambah nilai dan menyalurkan gas British Columbia ke pasaran global, untuk memberi faedah dan kemakmuran rakyat Kanada, terutamanya warga British Columbia.

"Bagaimanapun, realiti pasaran LNG global ialah kita berdepan dengan kemungkinan terlebih bekalan dan permintaan yang berkurangan yang memberi tekanan kepada harga LNG," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Tan Sri Datuk Shamsul Azhar Abbas dalam satu kenyataan.

Beliau berkata persekitaran pasaran ini, kemampuan mendapatkan pasaran dan pelanggan adalah paling utama dan dengan harga minyak mentah yang merosot, syarikat-syarikat tenaga antarabangsa seperti Petronas perlu menimbangkan keutamaan dan menilai semula pelaburan mereka.

Menurut Petronas, cukai tambahan dan kos alam sekitar yang tinggi akan memberi kesan negatif terhadap daya saing dan daya maju ekonomi projek.

"Malah, dalam proses kajian semula portfolionya yang lepas, ekonomi projek semasa dilihat marginal.

"Tanpa usaha pengurangan kos dalam projek, syarikat akan mempunyai masa yang sukar untuk mencapai FID positif menjelang pertengahan Disember 2014 dan untuk kekal berdaya saing, Petronas perlu mendapatkan persetujuan bagi prinsip utama yang penting kepada kejayaan projek ini pada akhir Oktober," kata Shamsul Azhar.


Petronas

Artikel Sebelum

MAS Masih Mencari CEO Baru

Artikel Lain