suria

Malaysia, Bangladesh Meterai MoU Loji Tenaga RM6 Bilion

Samy Vellu (kanan) dan Nasrul Hamid, mewakili negara masing-masing untuk menandatangani MoU bernilai Rm6 bilion itu.
NEW DELHI: Malaysia dan Bangladesh menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan dengan kerajaan untuk Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Powertek Bhd melaksanakan projek loji tenaga bernilai RM6 bilion.


MoU itu membolehkan konsortium TNB-Powertek membiayai dan membina loji tenaga dijana arang batu 1,320 megawatt di Maheshkhali, Cox's Bazar, Bangladesh dengan Lembaga Pembangunan Tenaga Bangladesh (BPDB).

Konsortium TNB-Powertek dan BPDB akan memiliki pegangan ekuiti yang sama dalam loji tenaga berkenaan, kata Duta Khas Malaysia untuk Infrastruktur ke India dan Asia Selatan, Datuk Seri Utama S Samy Vellu, yang menandatangani bagi pihak kerajaan Malaysia.

Menteri Negeri untuk Kuasa, Tenaga dan Sumber Asli Bangladesh, Nasrul Hamid menandatangani bagi pihak negara berkenaan.

Berikutan pemetraian MoU antara kerajaan dengan kerajaan itu semalam, TNB, Powertek dan BPDB menandatangani MoU mengenai perkongsian mereka.

Ketika menjelaskan mengenai butir terperinci MoU itu, Samy Vellu berkata ia sah untuk dua tahun, kecuali dilanjutkan dengan persetujuan bersama atau apabila pihak terbabit menandatangani perjanjian usaha sama (JV) atau perjanjian pemegang saham muktamad berkaitan pembangunan projek itu.

"Dengan MoU ini, pihak terbabit akan secara bersama menjalankan kajian kemungkinan projek dan mengemukakan program pembangunan projek," katanya selepas majlis menandatangani MoU itu.

Jika pihak terbabit memutus untuk meneruskan projek selepas kajian kemungkinan selesai, mereka akan menubuhkan syarikat JV dan menjalankan tender antarabangsa bagi melantik kontraktor perolehan, kejuruteraan dan pembinaan (EPC) untuk projek berkenaan.

Konsortium TNB-Powertek akan menyediakan kepemimpinan teknikal dan menyelaras kajian kemungkinan projek manakala BPDB akan menyediakan tanah untuk projek, katanya.

Projek itu akan dibangunkan secara pembiayaan tanpa rekursa dan syarikat JV akan menandatangani perjanjian pembelian tenaga jangka panjang dengan BPDB sebagai penerima tunggal tenaga daripada projek terbabit, katanya.

Samy Vellu berkata, kajian kemungkinan dijangka mengambil masa antara enam hingga sembilan bulan, tender untuk kontrak EPC (3-6 bulan) penyiapan dokumentasi projek bagi mendapat pembiayaan (9-12 bulan) dan pembinaan akan mengambil masa empat tahun.

Arang batu untuk projek akan diperoleh dari rantau ini, iaitu Indonesia dan Afrika Selatan bergantung kepada kajian kemungkinan, tambahnya. 


loji tenaga, Bangladesh, TNB

Artikel Lain