Kerajaan Kaji Cadangan Iktiraf Koperasi Sebagai PKS

Diterbitkan: Sabtu, 23 Ogos 2014 3:42 PM

Muhyiddin (tiga, kiri) bergambar kenangan bersama penerima Anugerah Tokoh Koperasi, Pengerusi Kuala Lumpur Kepong Sdn Bhd, Tan Sri Muhammad Alias Tengku Mohd Ali (depan, dua kanan) pada majlis Perasmian Hari Koperasi Negara di Stadium Mini Kuala Pilah di sini, Sabtu.

(Ubah saiz teks)

KUALA PILAH: Kerajaan sedia mengkaji cadangan mengiktiraf koperasi sebagai sebuah entiti yang didefinisikan sebagai Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi membolehkan koperasi menikmati pakej insentif dan keistimewaan setaraf dengan sektor PKS.

Langkah ini sejajar dengan perkembangan aktiviti ekonomi koperasi berteraskan perniagaan sederhana kecil yang perlu disokong bagi meningkatkan daya saing mereka, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasmikan Hari Koperasi Negara 2014 di sini, Sabtu.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hasan Malek dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan.

Hari Koperasi Negara bertema 'Memperkukuh Kerjasama Memperkasa Ekonomi' menyaksikan lebih 10,000 ahli koperasi seluruh negara dan pengunjung memenuhi Stadium Mini di sini.

Muhyiddin turut menyeru Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mengadakan kajian semula pencapaian Dasar Koperasi Negara 2011-2012 sejajar dengan kehendak persekitaran pasaran yang sentiasa dinamik.

"Kajian semula ini perlulah mengambil kira perancangan dan pelaksanaan projek dan program pembangunan koperasi secara lebih agresif, inklusif dan komprehensif.

"Ini termasuklah merancang peruntukan secukupnya dan menambah baik pakej insentif bagi memberi ruang dan peluang yang saksama untuk koperasi menceburi pelbagai bidang perniagaan baharu dan meningkatkan rantaian nilai sedia ada," kata Muhyiddin.

Beliau turut berharap SKM dapat mengkaji semula Akta Koperasi 1993, dan peraturan-peraturan berkaitan, untuk memperkukuhkan kerangka perundangan yang lebih menyeluruh dan berkesan.

"SKM dan lain-lain agensi perlu bekerjasama dalam proses kaji semula ini agar dapat menyokong peranan koperasi dalam aktiviti komersial," katanya, dan menambah kerajaan sedia mempertimbangkan permohonan SKM untuk mendapatkan peruntukan dana tambahan sebanyak RM500 juta setahun.

Mengulas perkembangan sektor koperasi di negara ini, Muhyiddin berkata kerajaan yakin sektor berkenaan akan terus memainkan peranan sebagai satu daripada peneraju utama kemakmuran ekonomi negara.

Beliau berkata, kerajaan berjaya meningkatkan taraf hidup rakyat dengan penubuhan lebih 10,000 koperasi dengan keanggotaan melebihi tujuh juta serta menjana pendapatan melebihi RM10 bilion.

"Sehubungan itu, saya berharap KPDNKK dapat mengkaji cadangan Menteri Besar Negeri Sembilan untuk menggabungkan koperasi-koperasi sedia ada menjadi sebuah badan korporat seperti syarikat Felda Global Ventures Bhd.

"Saya yakin melalui penggabungan ini dengan jumlah ahli dan dana terkumpul, dapat menjana10-20 kali ganda nilai tambah di masa-masa akan datang, " kata Muhyiddin.

Beliau berkata, kerajaan yakin sektor koperasi di Malaysia mampu bersaing di peringkat serantau dan antarabangsa.

"Aktiviti komersial sektor koperasi negara mempunyai potensi besar untuk diperluaskan lagi ke peringkat global, khususnya ke negara-negara Asean, selaras dengan pembentukan Komuniti Ekonomi Asean pada tahun hadapan," kata beliau.

Muhyiddin kemudian menyampaikan 11 anugerah koperasi, antaranya Anugerah Tokoh Koperasi kepada Raja Tan Sri Muhammad Alias Tengku Mohd Ali dan Anugerah Perdana kepada Koperasi Bank Persatuan Malaysia Bhd, masing-masing menerima RM50,000, sijil dan piala.

Beliau turut menyaksikan pemeteraian dan pertukaran tiga Memorandum Persefahaman iaitu antara KPDNKK dengan Koperasi Polis Diraja Malaysia Bhd, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dengan SKM serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dengan SKM.


Tags / Kata Kunci: koperasi , PKS , Tan Sri Muhyiddin Yassin

iklan

Video

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Jumaat, 13 Oktober 2017 2:30 PM

Ruhainies Bersedia Untuk Berkeluarga

Jumaat, 13 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Farisha Irish - Tak Malu

Kolumnis

iklan

Iklan