suria

MAHB Cadang Jadikan LCCT Gudang Kargo

SEPANG: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kini mengkaji rancangan untuk menjadikan Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) sebagai gudang kargo, kata Ketua Pegawai Kewangannya, Faizal Mansor.

"LCCT terletak di kawasan gudang kargo. Semasa LCCT dibina, ia untuk sementara sahaja dan mudahlah untuk menukarkannya kepada gudang kargo," katanya selepas taklimat media mengenai prestasi kewangan suku kedua pengendali lapangan terbang itu.

Faizal berkata demikian semasa menjawab soalan mengenai sama ada LCCT lama akan dijadikan kemudahan gudang kargo.

MAHB merancang untuk menjadikan LCCT sebagai gudang kargo apabila AirAsia berpindah pada September tahun depan, katanya.

"Sudah tentu, AirAsia perlu berpindah ke klia2, jika tidak ia tidak akan beroperasi dengan cekap kerana mereka perlu beroperasi jauh," kata Faizal.

Beliau berkata, MAHB meninjau semua kemungkinan yang akan meningkatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur secara keseluruhan.

"Pertumbuhan kargo di Malaysia agak perlahan dalam beberapa tahun lepas berbanding pergerakan penumpang. Kami cuba untuk membuat penilaian untuk melihat bagaimana dapat merangsang pertumbuhan kargo di Malaysia," katanya.

MAHB melaporkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM37.73 juta bagi suku kedua yang berakhir pada 30 Jun, 2014 berbanding keuntungan sebelum cukai sebanyak RM132.06 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.

Perolehan, bagaimanapun, meningkat kepada RM1.18 bilion pada suku berkenaan daripada RM978.10 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas.


MAHB, LCCT, gudang kargo

Artikel Lain