SapuraKencana Petroleum Luaskan Penerokaan di Mexico

Diterbitkan: Rabu, 9 Julai 2014 4:02 PM

CEO SapuraKencana Petroleum, Tan Sri Shahril Shamsuddin.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: SapuraKencana Petroleum Bhd - firma minyak dan gas terbesar Malaysia yang disenaraikan berdasar nilai pasaran - sedang meneroka untuk mengembangkan operasi mereka di Mexico.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Shahril Shamsuddin berkata, SapuraKencana sedang melihat kemungkinan membuka pusat operasi di Amerika Utara dengan mencari rakan kongsi di sana.

Benua Amerika termasuk Brazil, meliputi separuh daripada nilai pesanan kontrak SapuraKencana buat masa ini dengan nilai semasa RM28 bilion.

"Mereka adalah pasaran yang sedang berkembang dan mereka sedang membuka pintu kepada pelaburan luar. Dengan aset kami yang efisien, kami yakin akan dapat membuat bidaan yang kompetatif dan buat masa ini kami sedang membida projek-projek bernilai RM9.6 bilion di benua Amerika sahaja," ujarnya dalam satu temuramah dengan Bloomberg pada Selasa.

SapuraKencana sedang mengembangkan bisnesnya di pasaran baru walaupun terdapat syarikat minyak seperti Technip SA membuat ramalan bahawa pertumbuhan dalam industri ini akan menguncup. Selain Technip, Total SA, Royal Dutch Shell dan Chevron Corp adalah di antara firma minyak dan gas yang menegaskan bahawa mereka akan mengekang perbelanjaan kerana kelembapan dalam industri.

Dalam konteks ini, Shahril menegaskan bahawa strategi SapuraKencana ialah untuk menugasi semula aset ke kawasan yang sedang berkembang termasuklah di Afrika.

"Memang sejak tiga tahun kebelakangan ini, terdapat kelembapan dari segi pertumbuhan dalam sektor ini tetapi realitinya ialah syarikat-syarikat minyak kebangsaan masih menawarkan kerja-kerja hiliran kerana ia masih merupakan sumber pendapatan utama untuk negara-negara pengeluar minyak," kata Shahril.

Menurut Shahril, mereka masih menerima kontrak untuk melakukan kerja-kerja peninjauan carigali di Amerika Tengah dan mensasarkan perolehan kontrak bernilai sehingga RM10 bilion setahun dan menyelesaikan kontrak bernilai antara RM7 bilion hingga RM8 bilion setahun.

SapuraKencana kini muncul sebagai operator terbesar dunia dalam tender telaga minyak tahun lalu selepas ia menguasai sebahagian daripada kepentingan dalam Seadrill Ltd pada harga RM9.2 bilion.

Kemudian pada Februari tahun ini, ia menguasai sebuah lagi firma minyak dan gas, Newfield Malaysia Holdings pada harga RM2.87 bilion.

"Syarikat ini mempunyai sumber pendapatan yang stabil dengan nilai pesanan kontrak berjumlah RM30 bilion dan pada masa yang sama mereka juga sudah boleh melihat hasil daripada pelaburan dalam Newfield," kata Arhnue Tan, juruanalisa pasaran dari Alliance Investment Bank.

Dalam pada itu Shahril juga berkata yang mereka turut membida untuk mengambil alih beberapa aset Petronas di Vietnam.

Hutang semasa SapuraKencana berdasarkan data yang dikumpul oleh Bloomberg adalah sekitar RM19 bilion.

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan