suria

RM6.4 Juta Laksana Kawal Selia Harga Getah Peringkat Ladang

Douglas Uggah

PUTRAJAYA: Kerajaan meluluskan RM6.4 juta untuk 64 Koperasi Pekebun Kecil (KPK) melaksanakan mekanisme mengawal selia harga getah di peringkat ladang melalui Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi menangani penurunan harga getah pada paras kritikal, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata menerusi mekanisme baharu itu, pekebun kecil getah akan mendapat keuntungan pendapatan antara RM0.20 hingga RM0.30 sen sekilogram, melalui pengurangan pembabitan orang tengah kerana urus niaga jual beli getah akan dibuat melalui 64 buah koperasi KPK.

"Dengan mekanisme ini LGM akan menetapkan harga cadangan/rujukan harian kepada koperasi supaya harga getah dijual pada harga lebih tinggi daripada harga getah cadangan.

"Mekanisme ini penting memandangkan harga getah sudah turun pada tahap kritikal dan memastikan kebajikan pekebun kecil getah terjamin. Justeru kabinet pada Jumaat (13 Jun) memutuskan untuk laksanakan mekanisme ini," katanya pada sidang media selepas melancarkan Peraturan-peraturan Lembaga Getah Malaysia (Pelesenan dan Permit) 2014, di sini, Isnin.

Beliau berkata pembeli getah peringkat ladang lazimnya mengenakan margin keuntungan sebanyak 20 hingga 40 sen sekilogram selain pemproses getah Standard Malaysia Rubber 20 (SMR20) juga mengenakan kos dan margin pemprosesan ke atas harga pembelian getah kentalan 'cuplumps' daripada peniaga.

"Kos ini adalah antara RM0.70 per kg hingga RM0.90 per kg. Ini menyebabkan harga 'cuplumps' di ladang yang diterima oleh pekebun kecil adalah harga SMR 20 FOB (free-on-board) ditolak diskaun secara purata sehingga RM1.30 sekilogram.

"Maka pendapatan yang diperoleh pekebun kecil adalah kurang disebabkan oleh lapisan pembeli yang banyak," katanya.

Beliau yakin mekanisme baharu itu dapat meningkatkan kecekapan rantaian pemasaran melalui pengurangan bilangan lapisan peraih; meningkatkan ketelusan harga getah di peringkat ladang dan seterusnya membolehkan pekebun kecil mendapat harga yang berpatutan di peringkat ladang.

Beliau berkata LGM juga akan bekerjasama dengan Felda dan Perbadanan Kemajuan Getah Malaysia (MARDEC) bagi memastikan pelaksanaan mekanisme itu berjalan lancar dan berjaya.

Bagi mengekalkan kepentingan sektor getah di dalam ekonomi negara, Uggah berkata beberapa penambahbaikan turut diperkenalkan dalam Peraturan-Peraturan Lembaga Getah Malaysia (Pelesenan dan Permit) 2014 yang diwartakan pada 30 April 2014.

Antaranya proses untuk kelulusan lesen dipusatkan dengan tiada lagi panel-panel pelesenan mengikut zon; tempoh proses permohonan untuk mendapatkan lesen permohonan dipercepatkan dan mengemaskini sistem kawalan kualiti getah dalam mengeluarkan tanaman getah berkualiti tinggi, katanya.

Selain itu, Permit Autoriti Transaksi Getah melalui pengenalan kad jualan getah juga diperkenalkan bagi membangunkan pengkalan data profil pekebun kecil dan profil tanaman getah di seluruh negara yang berjaya mengurang atau mencegah kes kecurian getah di peringkat ladang, katanya.

"Dalam memastikan kepentingan pekebun-pekebun kecil lebih terjamin, para pembeli getah disyaratkan mempamer papan tanda harga tawaran harian dan pembeli getah berlesen juga dikehendaki menggunakan alat timbang yang ditentusahkan dan dicap mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972 (Akta 71)," katanya.

Beliau yakin sumbangan eksport getah kepada pendapatan negara kasar akan terus meningkat dari RM33.73 bilion pada 2013 kepada RM52.9 bilion menjelang 2020 dengan hasil putara kebangsaan 2,000 kg sehektar.


Getah

Artikel Lain